Ekonomi Malaysia berkembang 5.3% suku pertama 2026, sektor pembuatan kekal teguh

Sektor pembuatan terus menjadi pemacu utama dengan pertumbuhan 5.8 peratus, disokong oleh prestasi memberangsangkan dalam industri berorientasikan eksport seperti barangan elektrik, elektronik dan pemprosesan makanan.

By
Ekonomi Malaysia diunjur bertumbuh 5.3 peratus pada suku tahun pertama 2026. (FAIL) / Reuters

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini, menurut anggaran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut laporan New Straits Times, walaupun angka ini dilihat menyederhana berbanding pertumbuhan 6.3 peratus pada suku sebelumnya, prestasi tersebut mencerminkan daya tahan ekonomi negara di tengah-tengah ketidaktentuan global yang mencabar.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata suku pertama tahun ini menggambarkan asas ekonomi yang "fundamentalnya kukuh" meskipun berdepan kenaikan harga minyak global akibat ketegangan geopolitik.

Sektor pembuatan terus menjadi pemacu utama dengan pertumbuhan 5.8 peratus, disokong oleh prestasi memberangsangkan dalam industri berorientasikan eksport seperti barangan elektrik, elektronik dan pemprosesan makanan.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai tunjang utama pertumbuhan dengan kadar 5.4 peratus, dipacu terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit.

Momentum ini didorong oleh perbelanjaan pengguna yang stabil, pasaran buruh yang kukuh, serta peningkatan pendapatan isi rumah melalui pelbagai inisiatif kerajaan.

Selain itu, permintaan tinggi terhadap pusat data dan aktiviti berkaitan kecerdasan buatan (AI) generatif turut merangsang subsektor maklumat dan komunikasi.

"Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada suku tahun ini sebanyak 7.8 peratus. Sektor pertanian berkembang sebanyak 2.8 peratus, didorong oleh pertumbuhan kelapa sawit dan ternakan.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian merosot kepada negatif 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 2.0 peratus pada suku tahun sebellumnya, sejajar dengan pengeluaran yang lebih rendah, khususnya bagi minyak mentah dan kondensat serta gas asli," kata Mohd Uzir.

Aktiviti ekonomi sepanjang tempoh ini turut dirancakkan oleh perbelanjaan musim perayaan Tahun Baru Cina serta persiapan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan fasa kedua penyelarasan gaji penjawat awam dilihat memberikan kesan positif kepada jualan perdagangan edaran, yang mencatatkan kenaikan signifikan pada awal tahun 2026.

Dari sudut perdagangan luar, Malaysia terus mencatatkan prestasi mampan menerusi pengembangan berterusan dalam eksport domestik dan eksport semula.

Berikutan penerbitan anggaran awal ini, data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 dijadualkan akan diumumkan sepenuhnya pada 15 Mei depan.