Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan laporan bahawa liabiliti cukai yang dianggarkan melebihi S$2 bilion (RM6.35 bilion) menjadi komplikasi kepada rancangan penjualan tanah miliknya di Singapura.
Bloomberg melaporkan levi dikenali sebagai “land betterment charge” menjadi antara isu dalam rundingan dengan beberapa bakal pembeli bagi tanah seluas 16.6 hektar itu.
Cukai berkenaan dikenakan apabila kelulusan perancangan atau pembangunan meningkatkan nilai sesuatu tanah.
Tunku Ismail bagaimanapun berkata pembayaran cukai adalah perkara biasa dan tidak menimbulkan sebarang komplikasi.
“Sebagai pembayar cukai, perkara ini adalah normal. Tiada komplikasi dan saya lebih daripada gembira untuk menyumbang kepada kedua-dua negara. Kalau boleh, jadikan jumlahnya dua kali ganda,” katanya menerusi hantaran di X.
Menurut Bloomberg, pihak berkuasa Singapura pada Mac memaklumkan Tunku Ismail telah memohon untuk membangunkan tanah itu bagi tujuan kediaman, dengan cadangan penukaran zon bagi membolehkan pembangunan banglo mewah berstatus Good Class Bungalow (GCB) dan kediaman bertingkat rendah.
Penganalisis hartanah menganggarkan levi berkenaan mungkin melebihi S$2 bilion, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Mogul.sg Nicholas Mak menganggarkan jumlahnya antara S$2.5 bilion hingga S$2.7 bilion.
Singapore Land Authority berkata jumlah sebenar hanya akan ditentukan selepas kebenaran pembangunan diberikan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Mak menganggarkan tanah berkenaan boleh bernilai antara S$3.8 bilion hingga S$4.7 bilion sekiranya penukaran zon diluluskan.
Keluarga diraja Johor telah memiliki tanah di kawasan Tyersall Park itu selama lebih satu abad.






















