Malaysia akan terus jadi perantara rundingan damai Thai-Kemboja – Anwar
“Kalau tanya saya, saya berdoa agar konflik itu dapat diselesaikan. Mengapa mahu bergembira jika mereka terus berperang semata-mata mahu tunjuk Perdana Menteri Malaysia gagal?” kata Anwar.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan seorang jeneral bersara Thailand berhubung peranan Malaysia dalam rundingan damai Thailand-Kemboja, sambil menegaskan bahawa Perdana Menteri Thailand sendiri tidak pernah mempersoalkan peranan Malaysia.
Anwar berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, beliau kekal berhubung rapat dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja.
“Saya telah arahkan Panglima Angkatan Tentera mendapatkan laporan terkini supaya kita dapat membantu mereka dengan lebih lanjut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada Selasa.
Shahidan meminta penjelasan berhubung dakwaan jeneral bersara Thailand itu mengenai perjanjian damai Thailand-Kemboja yang telah mendapat liputan media antarabangsa.
Pada Isnin, Thailand dilaporkan menggantung pelaksanaan “perjanjian damai” dengan Kemboja berikutan pertikaian sempadan — hanya dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyaksikan majlis tandatangan tersebut.
Langkah itu diambil selepas beberapa anggota tentera cedera akibat letupan periuk api di wilayah Sisaket berhampiran sempadan Kemboja.
Mengulas kritikan jeneral bersara berkenaan, Anwar berkata beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah.
“Kalau tanya saya, saya berdoa agar konflik itu dapat diselesaikan. Mengapa mahu bergembira jika mereka terus berperang semata-mata mahu tunjuk Perdana Menteri Malaysia gagal? Itu pendekatan yang tidak sihat,” katanya.
Sebelum ini, tersebar video memaparkan jeneral bersara Thailand itu menuduh Anwar sebagai pengkhianat yang menyebabkan kerugian kepada ekonomi Thailand melalui perjanjian damai berkenaan, kononnya ia memberi ruang kepada campur tangan Amerika Syarikat di rantau itu.