Kerajaan mengumumkan pemberian tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) serta perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad, bermula hari ini sehingga 31 Julai.
Langkah ini dilaksanakan bersempena perasmian laluan sepanjang 37.8 kilometer dari Bandar Utama ke Johan Setia yang dijangka memberi manfaat besar kepada kira-kira dua juta penduduk di sepanjang jajaran berkenaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan insentif itu bertujuan meringankan beban harian pengguna di kawasan yang terkenal dengan masalah kesesakan trafik yang kritikal.
"Bermula 29 Jun hingga 31 Julai, tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara akan diberikan secara percuma. Kenapa laluan ini? Kerana laluan ini antara yang paling sesak dalam negara kita, yang menjadi bebanan besar bagi rakyat," katanya ketika merasmikan peluncuran projek tersebut di Depoh LRT Johan Setia semalam.
Pasca-peluncuran jajaran pengangkutan awam ini, tumpuan seterusnya beralih kepada pembangunan infrastruktur sokongan berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan beberapa kawasan strategik di sekitar stesen LRT3 telah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek perumahan rakyat dan pusat komersial, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah di sekitar fasiliti pengangkutan.
Menurut Loke, antara lokasi berpotensi tinggi yang memenuhi kriteria keluasan tanah termasuklah Stesen Seri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Langkah ini menandakan peralihan daripada konsep lama yang sekadar menyediakan kemudahan 'park and ride' kepada pendekatan yang lebih holistik.
"Kalau dulu tanah tidak dioptimumkan dan hanya memanfaatkan pemandu yang meletak kenderaan dari pagi sampai malam. Jadi, dasar kerajaan sekarang adalah untuk kita optimumkan penggunaan tanah melalui konsep TOD ini," jelas beliau, bagi memastikan jajaran LRT3 tidak sekadar berfungsi sebagai mod pengangkutan, malah pemangkin kepada penyediaan kediaman mampu milik dan komuniti mampan.




















