POLITIK
2 min membaca
Bekas ketua junta Myanmar dijadual berkunjung ke Thailand
Langkah itu dilihat sebagai usaha beliau untuk membersihkan nama negaranya dengan menyertai semula diplomatik serantau, selepas Myanmar dipulaukan masyarakat antarabangsa susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.
Bekas ketua junta Myanmar dijadual berkunjung ke Thailand
(FAIL) Min Aung Hlaing dilantik sebagai Presiden pada April lalu susulan pilihan raya umum di negara itu. / AP

Bekas ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, dijangka tiba di Thailand pada Khamis untuk mengadakan lawatan rasmi julung kalinya sejak dilantik sebagai pemimpin negaranya susulan pilihan raya umum yang dijalankan negara bergolak itu sebelum ini.

Langkah itu dilihat sebagai usaha beliau untuk membersihkan nama negaranya dengan menyertai semula diplomatik serantau, selepas Myanmar dipulaukan masyarakat antarabangsa susulan rampasan kuasa tentera pada 2021, yang mencetuskan perang saudara dan meragut ribuan nyawa.

Min Aung Hlaing dilantik sebagai Presiden pada April lalu susulan pilihan raya umum di negara itu yang bermula pada hujung tahun lalu dan diteruskan hingga awal tahun ini.

Pilihan raya itu, bagaimanapun, menerima kecaman hebat pihak Barat dan pemerhati demokrasi, di mana mereka menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai sekadar platform untuk mengesahkan imej pihak junta.

Sejak menukar pakaian seragam tentera kepada pakaian biasa, beliau giat menjalankan kerja-kerja diplomasi dengan melawat India, China, serta Laos, manakala Thailand pula memimpin usaha memulihkan hubungan diplomatik sama ada secara bilateral mahupun menerusi persidangan ASEAN.

Penganalisis bebas Myanmar, David Mathieson, menyifatkan usaha Naypyidaw untuk menyertai semula ASEAN sebagai sekadar agenda "untuk mengesahkan semula status" Min Aung Hlaing.

"Beliau mahu dilihat sebagai ahli ASEAN yang bertanggungjawab dalam satu sudut, namun secara bertentangan menolak sepenuhnya konsensus lima perkara," kata Mathieson, merujuk kepada rancangan damai ASEAN yang enggan dipatuhi pihak junta.

Bangkok mempunyai kepentingan mendesak untuk memulihkan hubungan kerana pertempuran rentas sempadan telah melimpah ke wilayah Thailand yang kini menempatkan jutaan pelarian, selain ancaman sindiket penipuan siber dan penyeludupan dadah.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, berkata Myanmar dan Kemboja boleh "berbuat lebih banyak" bagi membanteras rangkaian jenayah siber sempadan, dan isu tersebut akan dibangkitkan secara rasmi dalam pertemuan nanti.

Mengikut jadual, Min Aung Hlaing bakal disambut kawalan kehormatan di Rumah Kerajaan Bangkok sebelum mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

Walau bagaimanapun, langkah Bangkok menerima kunjungan ini mendapat tentangan hebat kumpulan hak asasi.

Kumpulan Justice For Myanmar menegaskan dalam kenyataannya: "Min Aung Hlaing mesti dipertanggungjawabkan atas jenayahnya, bukannya diberi keabsahan palsu."

SUMBER:AFP