Industri pelancongan Malaysia menjana nilai tambah sebanyak RM323 bilion pada 2025, menyumbang 15.9 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertumbuhan industri itu meningkat kepada 8.6 peratus berbanding 7.8 peratus pada 2024, disokong peningkatan perbelanjaan pelancongan domestik dan pelancong dari luar negara.
“Perbelanjaan pelancongan dalam negara, yang merangkumi perbelanjaan pelancong asing dan domestik, meningkat 15.2 peratus kepada RM236.9 bilion pada 2025 daripada RM205.6 bilion setahun sebelumnya,” menurut DOSM.
Perbelanjaan pelancong asing meningkat 16.5 peratus kepada RM124.8 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik naik 13.8 peratus kepada RM112.1 bilion.
Perdagangan runcit kekal menjadi penyumbang terbesar kepada nilai tambah pelancongan dengan 50.6 peratus, diikuti aktiviti makanan dan minuman sebanyak 16.4 peratus.
Perkhidmatan khusus pelancongan negara, termasuk aktiviti kesihatan serta mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran, menyumbang 13.1 peratus, manakala penginapan merangkumi 9.3 peratus.
Industri berkaitan pelancongan turut menggaji 3.7 juta orang pada 2025, bersamaan 22.1 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia.
Guna tenaga dalam industri berkenaan berkembang 3.5 peratus, berbanding 4.6 peratus pada tahun sebelumnya.























