ASIA
1 min membaca
Kerajaan Thai yakin rundingan damai wilayah selatan akan disambung semula
Sihasak turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan berterusan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai, sambil menyifatkan sumbangan Kuala Lumpur sebagai “amat penting” dalam membantu usaha mencapai penyelesaian jangka panjang.
Kerajaan Thai yakin rundingan damai wilayah selatan akan disambung semula
(FAIL) Sihasak berkata, meskipun terdapat cabaran, dialog kekal sebagai jalan utama untuk mencapai keamanan.
6 November 2025

Thailand optimis bahawa pasukan rundingan damai baharu yang diketuai oleh Jeneral Somsak Rungsita akan memulakan tugas dalam masa terdekat bagi meneruskan usaha menyelesaikan konflik di wilayah selatan negara itu, lapor Bernama.

Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow berkata, meskipun terdapat cabaran, dialog kekal sebagai kunci utama untuk mencapai keamanan berkekalan.

“Beliau (Somsak) memahami isu berkenaan dan berharap pasukan baharu ini dapat memulakan tugasnya tidak lama lagi, khususnya dalam rundingan dengan pihak yang masih meneruskan keganasan. Rundingan amat penting,” katanya di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Somsak yang merupakan bekas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand dilantik untuk mengetuai delegasi kerajaan awal bulan lalu dalam rundingan damai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) bagi menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

Sihasak turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan berterusan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai, sambil menyifatkan sumbangan Kuala Lumpur sebagai “amat penting” dalam membantu usaha mencapai penyelesaian jangka panjang.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian konflik selatan memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan rundingan damai, tetapi juga pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan yang terlibat.

“Kami bekerjasama dengan Malaysia bukan hanya dalam rundingan damai, tetapi juga dalam membangunkan kawasan sempadan bersama untuk membawa kemakmuran bersama,” katanya.