Malaysia menggesa penubuhan OneASEAN SME Movement bagi memperkukuh kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh rantau ASEAN serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif, lapor Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu akan menjadi pemangkin serantau bagi menghubungkan usahawan, pelabur dan inovator di seluruh ASEAN, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi tinggi, perdagangan halal dan perkhidmatan digital.
“Biarlah gerakan ini menjadi nadi ekonomi serantau kita — pemangkin yang memperkasa rakyat, mengukuhkan daya tahan dan membawa ASEAN ke sempadan baharu pertumbuhan,” katanya ketika merasmikan SME Venture@ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata ASEAN, dengan pasaran dinamik berjumlah 680 juta penduduk, menawarkan potensi besar kepada lebih 70 juta PKS di rantau ini.
Namun, meskipun menjadi tulang belakang ekonomi ASEAN dengan sumbangan 44.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serantau dan 85 peratus kepada jumlah pekerjaan, sumbangan PKS kepada jumlah eksport ASEAN masih rendah iaitu hanya 18 peratus.
Ahmad Zahid menegaskan, platform seperti SME Venture@ASEAN 2025 menjadi pintu masuk bagi usahawan untuk menembusi pasaran ASEAN dan mengintegrasi rantaian nilai global dengan lebih bermakna, serta merangka kerja perdagangan serantau.
Beliau berkata, acara itu turut mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menerajui ekosistem perniagaan dan perdagangan ASEAN.
Pada peringkat nasional, katanya, kerajaan komited memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Keusahawanan Nasional 2030 (NEP 2030), termasuk meningkatkan jumlah syarikat bersaiz sederhana daripada 1.6 peratus pada 2024 kepada lima peratus menjelang 2030 dengan menggalakkan peluasan pasaran dan pengantarabangsaan.






