DUNIA
2 min membaca
Petrobras pintas Brava, beli kepentingan Petronas di Brazil RM1.9 Bilion
Petrobras pintas Brava, beli kepentingan Petronas di Brazil RM1.9 Bilion
Bagi Petronas, langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada pelarasan portfolio pelaburan antarabangsanya. (FAIL) / Reuters
2 jam yang lepas

Gergasi tenaga milik kerajaan Brazil, Petrobras, mengumumkan keputusan untuk melaksanakan hak pembelian bagi mengambil alih 50 peratus kepentingan milik Petronas di dua medan minyak luar pantai Brazil.

Urus niaga yang membabitkan nilai AS$450 juta (sekitar RM1.8 bilion) itu menyaksikan syarikat Malaysia tersebut melepaskan pegangannya dalam aset strategik di lembangan Campos.

Melalui perjanjian ini, Petrobras bakal memegang 100 peratus hak milik di medan Tartaruga Verde dan Modul III medan Espadarte.

Kedua-dua aset tersebut kini mencatatkan pengeluaran purata sekitar 55,000 tong sehari, sekali gus memperkukuh penguasaan Petrobras dalam operasi pengeluaran minyak di rantau berkenaan.

Langkah Petrobras ini dilihat membatalkan rancangan awal syarikat minyak Brazil, Brava, yang sebelum ini telah mengumumkan perjanjian untuk membeli kepentingan tersebut daripada Petronas pada Januari lalu.

Namun, Petrobras memilih untuk menggunakan hak keutamaan (right of first refusal) mereka bagi memastikan aset berpotensi tinggi itu kekal di bawah kawalan penuh syarikat.

Penganalisis menyifatkan pemerolehan itu sebagai langkah taktikal yang penting bagi Petrobras.

Menurut sumber, penguasaan penuh ini membolehkan syarikat tersebut menyambungkan telaga-telaga lain di medan Tartaruga Verde ke aset baharu mereka, selain memanfaatkan penemuan simpanan minyak yang disifatkan sebagai "luar biasa" di blok berhampiran baru-baru ini.

Sehingga kini, Petronas dan Brava masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pembatalan perjanjian asal mereka.

Bagi Petronas, langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada pelarasan portfolio pelaburan antarabangsanya dalam mendepani dinamik pasaran tenaga global yang semakin mencabar.

Langkah Petrobras ini juga mencerminkan strategi agresif Brazil untuk menyatukan aset-aset minyak utama di bawah syarikat nasional mereka.

Dengan pengambilalihan ini, Petrobras dijangka dapat mengoptimumkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan pengeluaran di Lembangan Campos yang merupakan salah satu kawasan cari gali paling produktif di dunia.

SUMBER:REUTERS