Budi95: Penjimatan RM2.5 bilion akan dipulangkan kepada rakyat – Anwar

Menurut Anwar, hasil penjimatan akan disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

By
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah penjimatan itu tertakluk kepada harga minyak mentah global dan kadar pertukaran asing. (FAIL / JaPen) / Screenshot

Kerajaan Malaysia menjangkakan mampu menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion tahun ini menerusi pelaksanaan program subsidi Budi95, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah penjimatan itu tertakluk kepada harga minyak mentah global dan kadar pertukaran asing.

Menurutnya, hasil penjimatan akan disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Beliau berkata setakat ini kira-kira RM200 juta telah dibelanjakan oleh hampir dua juta rakyat Malaysia susulan pelaksanaan fasa kedua Sara pada 9 Feb.

“Kerajaan komited dengan pertumbuhan melalui reformasi yang mengutamakan rakyat. Reformasi fiskal bukan untuk hilang begitu sahaja, tetapi mesti dipulangkan kepada rakyat,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas cadangan pengecualian subsidi RON95 kepada golongan berpendapatan tinggi, Anwar berkata Kabinet sebelum ini menolak cadangan untuk mengecualikan mereka yang berpendapatan RM13,000 ke atas kerana jumlah itu dianggap terlalu rendah dan melibatkan ramai penjawat awam, petani serta peniaga.

Cadangan kedua yang menyasarkan pendapatan RM25,000 ke atas pula hanya melibatkan sekitar 2% rakyat dan tidak signifikan.

Beliau menegaskan rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan dengan mengambil kira beban hutang dan defisit yang diwarisi, namun perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan kesan negatif terhadap rakyat, seperti yang dibuat sebelum ini ke atas subsidi diesel dan elektrik.

Anwar turut menolak dakwaan bahawa kuota 300 liter sebulan tidak mencukupi, sambil menyatakan bahawa penggunaan purata bulanan hanya sekitar 100 liter dan hampir 90% pengguna tidak melepasi kadar 200 liter sebulan.

Program Budi95 yang dilaksanakan sejak September tahun lalu kini merekodkan kira-kira 3.1 juta transaksi sehari atau 96 juta transaksi sebulan, di mana hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.