Tiga lagi mayat wanita, dipercayai mangsa bot karam melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Pulau Pangkor pada Isnin, ditemui petang semalam, menurut laporan BERNAMA.
Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui setakat ini seramai 30 orang.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Deputi Superintendan Mazre Che Mahmod berkata, ketiga-tiga mayat itu ditemui oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti, kira-kira 20 batu nautika dari lokasi kejadian pada jam 6 petang.
Siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa kini sedang dijalankan.
"Penemuan terbaharu ini menjadikan jumlah mangsa ditemui seramai 30 orang, selepas 23 daripadanya berjaya diselamatkan pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11 Mei," katanya.
Terdahulu, empat mayat yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki ditemui terapung oleh polis marin kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Talang, Segari.
Kesemua mayat tersebut telah dibawa ke Jeti Polis Marin Kampung Acheh sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.
Operasi SAR hari ketiga yang bermula jam 7 pagi tadi kini memfokuskan usaha mengesan tujuh lagi mangsa yang masih hilang.
Operasi melibatkan aset daripada Polis Marin, TLDM, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), termasuk penggunaan pesawat Bombardier CL415MP.
Bot yang membawa 37 migran tersebut dilaporkan bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur sebelum karam di kedudukan 8.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.








