Ahli Kongres AS, kumpulan hak asasi kecam penahanan pelajar Turki kritik Israel

CAIR menyifatkan penahanan Rumeysa Ozturk sebagai "penculikan" dan "tindakan represif yang membimbangkan", sementara Kedutaan Turki di Washington menyatakan mereka sedang memantau situasi.

Menurut peguamnya, Ozturk ditahan ICE berhampiran rumahnya di Somerville ketika menuju iftar Ramadan. / Reuters

Washington, DC – Ahli Kongres Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi mengutuk penahanan Rumeysa Ozturk, pelajar PhD Turki di Universiti Tufts dan penerima biasiswa Fulbright, berikutan kritikannya terhadap Israel, menyifatkannya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara dan hak sivil.

Ozturk ditahan oleh ejen persekutuan bertopeng di siang hari, dengan pihak berkuasa mendakwa dia terlibat dalam aktiviti menyokong kumpulan penentang Palestin, Hamas – dakwaan yang ditolak keras oleh keluarga dan peguamnya.

Wakil Demokrat Michigan Rashida Tlaib mengutuk penahanan itu sebagai petanda peningkatan represif kerajaan.

"Pentadbiran Trump menculik orang di tengah jalan," tulis Tlaib di Instagram.  

"Mereka bermula dengan pejuang hak Palestin...tapi tidak akan berhenti di situ. Seterusnya aktivis keadilan alam sekitar, pengguguran, kesatuan sekerja dan penentang Projek 2025," tambahnya merujuk kepada agenda konservatif Trump.

Senator Elizabeth Warren turut mengkritik tindakan pentadbiran sebagai sebahagian serangan terhadap hak asasi.  

"Penahanan ini sebahagian corak membimbangkan yang menekan kebebasan sivil. Pentadbiran Trump mensasarkan pelajar berstatus sah dan menafikan proses undang-undang. Ini serangan terhadap Perlembagaan kami," tegas Warren.

Kedutaan Turki di Washington menyatakan mereka memantau rapat perkembangan kes Ozturk dan sedang berusaha berhubung dengan pihak berkuasa AS.

'Tindakan represif membimbangkan'  

Pertubuhan hak asasi menyuarakan kebimbangan serius.  

Tahirah Amatul-Wadud dari CAIR-MA menyifatkan penahanan Ozturk sebagai "penculikan" dan serangan terhadap kebebasan akademik.  

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya penculikan sarjana Muslim bertudung ini oleh ejen bertopeng," katanya.  

"Tindakan represif ini adalah serangan terhadap kebebasan bersuara dan akademik. Penduduk Massachusetts harus tahu ini ada;lah presiden berbahaya – kerajaan persekutuan menggunakan taktik drakonian untuk mendiamkan pengkritik komplisiti AS dalam genosid Israel terhadap Palestin. Kami tuntut pembebasan segera Rumeysa Ozturk dan transparency penuh berkenaan penahanan beliau."

Menurut peguamnya, Ozturk ditahan ICE berhampiran rumahnya di Somerville ketika menuju iftar Ramadan. Penahanan ini menyusuli kempen oleh Canary Mission, laman pro-Israel yang menyenaraihitam aktivis pro-Palestin. Pada 2024, Ozturk menulis rencana di akhbar pelajar Tufts mendesak universiti mengiktiraf "genosid Palestin" dan menarik pelaburan dari syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan rejim Zionis Israel.

Video viral menunjukkan detik-detik Ozturk ditahan oleh ejen bertopeng tanpa tentangan.

Tindakan tegas terhadap pelajar pro-Palestin

Penahanan Ozturk turut berlaku di tengah-tengah operasi besar-besaran pentadbiran Trump terhadap pelajar dan ahli akademik yang menyokong Palestin.

Pada 8 Mac, pihak berkuasa menahan Mahmoud Khalil, seorang aktivis Palestin terkemuka dan pelajar di Universiti Columbia. Trump menyambut baik penahanan itu dengan menyatakan ia hanyalah "permulaan".

Tanpa sebarang bukti, Trump mendakwa Khalil menyokong Hamas. Khalil menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan pejuang tersebut.

Beberapa hari selepas penahanan Khalil, ramalan Trump menjadi kenyataan apabila seorang lagi penyokong Palestin, Badar Khan Suri, penyelidik India di Universiti Georgetown ditahan. Peguamnya menyatakan penahanan itu berpunca daripada latar belakang Palestin isterinya.

Selepas penahanan Suri, pihak berkuasa menyasarkan seorang lagi pelajar pro-Palestin, Momodou Taal, dengan memintanya menyerahkan diri.

Pada 25 Mac, seorang lagi pelajar Columbia yang menyokong Palestin, Yunseo Chung, mengumumkan beliau telah memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump setelah pihak berkuasa berulang kali datang ke kediamannya untuk menahannya.