Meningkatkan pendapatan rakyat, menambah peluang pekerjaan berkualiti dan menangani kos sara hidup akan menjadi antara fokus utama Belanjawan 2027 ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata belanjawan bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai Di Langit, Mengakar di Bumi itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemampanan fiskal.
“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta menangani cabaran kos sara hidup melalui pendekatan yang bersasar dan mampan,” katanya pada Selasa. “Matlamat utama adalah untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat,” tambah beliau.
Usaha itu turut merangkumi usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan, sistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pembangunan modal insan selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Amir Hamzah berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha meningkatkan daya saing melalui pelaburan berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor strategik.
“Tumpuan akan terus diberikan kepada sektor seperti semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam,” katanya.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pemula turut akan diperkasa menerusi lebih banyak akses kepada pembiayaan, pendigitalan, inovasi dan pasaran.
Langkah itu bertujuan membantu lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan memasuki rantaian nilai global sebagai “Made by Malaysia”, selain menggalakkan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi.
“Belanjawan 2027 akan menjadi instrumen utama bagi meneruskan momentum aspirasi RMK13 kepada tindakan nyata,” kata Amir Hamzah.
Beliau berkata langkah yang dirangka akan berpaksikan kepada empat tonggak utama iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi dan mobiliti sosial, mempercepat reformasi perkhidmatan awam serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.






















