Tujuh Oktober 2023 ialah satu tarikh yang maknanya dan kesannya masih menjadi titik tolak kepada bagaimana peristiwa dua tahun lalu ditafsirkan dan kejadian tersebut terus mempengaruhi keadaan semasa.
Peristiwa ini masih diselubungi kontroversi dimana banyak persoalan yang belum terjawab, dan fakta yang dipertikaikan:
Haruskah serangan itu dilihat terutamanya sebagai satu bentuk penentangan Palestin, yang berpunca daripada keengganan Israel (dan para penyokongnya) untuk menghormati keputusan pilihan raya 2006 yang dipantau oleh komuniti antarabangsa, di mana Hamas memperoleh kemenangan?
Atau adakah serangan itu merupakan tindak balas terhadap penindasan berterusan di bawah dasar apartheid termasuk sekatan yang kejam, sewenang-wenangnya, dan menghukum yang digambarkan oleh pegawai Barat terkemuka sebagai ‘penjara terbuka terbesar di dunia’dan yang diperburuk lagi oleh serangan ketenteraan Israel secara berkala ke Gaza, yang menyebabkan kematian orang awam dan kemusnahan besar?
Atau patutkah 7 Oktober dikenang sebagai satu serangan yang tidak diprovokasi dan memperlihatkan “sifat kejam Hamas” dan juga seluruh penduduk Palestin di Gaza, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Israel, Isaac Herzog?
Atau adakah Israel telah mendapat amaran awal tetapi membenarkan serangan itu berlaku bagi mencipta landasan untuk melaksanakan Projek Zionis ‘Israel Raya’ dengan memperluas kedaulatan wilayahnya ke atas wilayah Palestin termasuk Gaza, Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis Timur dan dalam proses tersebut, memaksa rakyat Palestin yang ketakutan melarikan diri dan sekali gus menghapuskan aspirasi penubuhan negara Palestin selama-lamanya?
Atau yang paling berat, adakah tindak balas Israel terhadap peristiwa 7 Oktober merupakan satu kempen pembunuhan beramai-ramai yang berlaku secara nyata yang mendedahkan keterlibatan demokrasi liberal utama di Eropah dan Amerika Utara serta kelemahan undang-undang antarabangsa dan PBB dalam menegakkan keadilan dan pertanggungjawaban terhadap pelaku jenayah?
Di tengah-tengah ketidaktentuan ini, dapat dikesan bagaimana reaksi terhadap peristiwa 7 Oktober berubah dari masa ke semasa, mencerminkan pergeseran dalam tindak balas antarabangsa terhadap keganasan dan kemusnahan yang berterusan, serta pendirian yang diambil oleh Israel, Hamas, Amerika Syarikat, dan rakan-rakan Eropahnya.
Daripada hanya berlegar pada ketegangan antara sokongan dan tentangan terhadap tindakan Israel, tumpuan kini beralih kepada usaha diplomatik yang semakin giat, bertujuan mencapai gencatan senjata, pertukaran tahanan, dengan jaminan kekebalan kepada pelaku jenayah dari kedua belah pihak.
Sama ada fasa semasa ini akan dikenang dua tahun dari sekarang sebagai detik berakhirnya genosid, atau hanya sebagai satu jeda sementara, itulah persoalan dan spekulasi yang menghantui dan menyelubungi ketika ini.
Sama ada fasa semasa ini akan dikenang dua tahun dari sekarang sebagai detik berakhirnya genosid, atau hanya sebagai satu jeda sementara, itulah persoalan dan spekulasi yang menghantui dan menyelubungi ketika ini.
Masa depan yang samar ini nampaknya bergantung sama ada kerajaan Amerika Syarikat akan menyokong formula Israel untuk menamatkan konflik atau menggunakan pengaruhnya untuk mencari penyelesaian yang melibatkan kompromi antara pihak yang bertelagah yang mampu mengekang cita-cita Israel dan menyokong hak rakyat Palestin.
Menelusuri perkembangan penting dari tahun 2023 hingga 2025 mungkin dapat membantu menjelaskan ketidaktentuan ini.
Fasa I: Beberapa bulan selepas 7 Oktober – Israel sering diberi peluang
Meskipun pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant menggunakan bahasa yang bersifat genosid dalam respons segera mereka terhadap serangan itu, istilah "genosid" masih menjadi tabu dalam menggambarkan tindakan Israel.
Netanyahu merujuk kepada kitab suci Bible untuk menghalalkan serangan balas terhadap orang Yahudi seperti yang dilakukan oleh orang Israel purba terhadap kaum Amalek iaitu dengan membunuh setiap lelaki, wanita, kanak-kanak, malah ternakan Amalek secara genosid.
Gallant pula mengisytiharkan, dalam kata-kata perintah yang sering dikutip pada 9 Oktober: “Saya telah mengarahkan kepungan sepenuhnya ke atas Semenanjung Gaza. Tiada elektrik, tiada makanan, tiada bahan api... Kita sedang berperang dengan haiwan manusia dan kita bertindak sewajarnya.”
Kemusnahan meluas yang menyusul termasuk sasaran ke atas kawasan dan bangunan yang dilindungi undang-undang seperti hospital, sekolah, rumah ibadat, warisan budaya, konvoi bantuan kemanusiaan dan tempat perlindungan UNRWA membuktikan bahawa kata-kata Gallant itu diterjemahkan secara nyata melalui taktik ketenteraan.
Namun begitu di peringkat antarabangsa, Israel pada awalnya diberikan “manfaat keraguan.” Media arus perdana dan bahkan masyarakat sivil global banyak yang menerima naratif bahawa ia adalah serangan tidak diprovokasi oleh sebuah organisasi pengganas dan menyokong dakwaan Israel mengenai hak mempertahankan diri.
Protes adalah minimum dalam tempoh ini dan sokongan daripada kuasa-kuasa kolonial lama di Eropah dan negara sekutu lain mengukuhkan kedudukan diplomatik Israel.
Tempoh “bulan madu genosid” ini berakhir secara mendadak apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan bidang kuasanya terhadap permohonan Afrika Selatan yang menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid.
Dalam keputusan penghakiman sementara yang hampir sebulat suara, ICJ mengemukakan langkah sementara pada Mac 2024. Penolakan Israel terhadap keputusan ICJ yang disokong oleh AS dengan alasan usaha itu “tidak berasas dari segi undang-undang,” mencetuskan gelombang protes global dan bantahan dari kerajaan-kerajaan bukan Barat.
Fasa II: Keputusan ICJ/ICC dan veto terhadap gencatan senjata
Apabila trauma awal semakin surut, perhatian antarabangsa mula tertumpu kepada krisis kemanusiaan di Gaza dan penderitaan rakyat Palestin serta kekejaman yang berlaku tanpa justifikasi sah dari segi keselamatan.
Kritikan yang semakin meningkat terhadap Israel mencetuskan protes besar-besaran, khususnya di negara yang menyokong Israel yang sering disambut dengan tindakan balas autoritarian oleh kerajaan mereka.
Kehilangan legitimasi Israel meningkat selepas Pendapat Penasihat ICJ pada 2024 berkenaan kesahihan pendudukan wilayah Palestin. Keputusan itu menyatakan bahawa PBB dan negara-negara anggotanya mempunyai tanggungjawab kolektif dan individu untuk melaksanakan keputusan utama bahawa Israel tidak lagi mempunyai kuasa sah untuk mentadbir wilayah Palestin termasuk Gaza, kerana pelanggaran terhadap Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Perhimpunan Agung PBB menerima keputusan tersebut dan memberi tempoh satu tahun kepada Israel untuk berundur, yang berakhir pada bulan September.
Dalam tempoh ini, legitimasi Israel dari segi undang-undang dan moral semakin merosot, satu faktor penting dalam banyak konteks penjajahan peneroka. Pendudukan Israel kini semakin dilihat melalui lensa penjajahan peneroka dan dianggap sebagai satu bentuk negara penyangak / penyamun (rogue state) atau negara pariah yang melakukan genosid.
Fasa III: Laporan Pillay, diplomasi Trump, dan kebangkitan semula mentaliti pasca 7 Oktober
Beberapa perkembangan pada 2025 menyumbang kepada kemaraan genosid, dan peristiwa 7 Oktober mulai dilupakan secara separa.
Satu Suruhanjaya Siasatan PBB yang diketuai oleh bekas Pesuruhjaya Tinggi, Navi Pillay, membuat kesimpulan bahawa serangan Israel ke atas Gaza adalah satu tindakan genosid, selari dengan tiga laporan Pelapor Khas PBB Francesca Albanese yang menghuraikan projek penjajahan peneroka Israel dan penggunaannya terhadap genosid.
Amerika Syarikat memberikan reaksi yang luar biasa dengan mengenakan sekatan ke atas Albanese, menghalangnya masuk ke AS untuk menyampaikan laporan terbarunya tindakan yang dilihat sebagai satu bentuk hukuman haram terhadap seorang pegawai PBB yang tidak bergaji dan menjalankan tugas menyatakan kebenaran.
AS juga menggunakan kuasa veto untuk menyekat inisiatif gencatan senjata PBB, menjadikan peranannya sebagai satu-satunya penyokong terbuka Israel yang semakin tidak popular di mata dunia.
Pada masa sama, Presiden AS Donald Trump turut mengambil pendekatan peribadi untuk menamatkan konflik di Gaza tanpa mengasingkan Israel dan berjaya mendapatkan bantuan daripada negara-negara majoriti Arab dan Islam.
Pelan Trump menawarkan jaminan keselamatan dan wilayah kepada Israel, sambil memberi langkah terhad ke arah pentadbiran dan pembangunan Palestin. Teras kepada pelan itu ialah memberi tempoh 72 jam kepada Hamas untuk memberi maklum balas.
Bagi Hamas, ini adalah satu dilema beracun: telah diselesaikan secara sementara dengan cara yang bermaruah oleh Hamas. Namun, Israel terus melancarkan serangan udara menyebabkan banyak korban yang mencerminkan perpecahan dalaman dan mengabaikan tekanan Trump terhadap Israel untuk menghentikan semua operasi ketenteraan sementara pelan perdamaian dilaksanakan.
Walaupun banyak perubahan telah berlaku sejak 7 Oktober 2023, dalam semua aspek tingkah laku Israel/Palestin, empat kesinambungan tidak berfungsi terus mengaburi prospek dalam dua tahun akan datang: sokongan tanpa syarat AS terhadap Israel, penafian hak rakyat Palestin untuk mewakili diri dan hak penentuan nasib sendiri, konsensus bahawa label “pengganas” sesuai dengan realiti Hamas, dan menyahmanusia rakyat Palestin dalam ideologi Zionis serta struktur-apartheid pemerintahan Israel.
Hanya apabila penyesuaian yang sewajarnya terhadap isu-isu ini dilakukan, tafsiran semula terhadap 7 Oktober akan mendapat penghormatan sewajarnya