Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan mengibarkan bendera Israel atau menampal pelekat dengan tulisan Ibrani yang menyinggung sensitiviti rakyat dan bercanggah dengan dasar negara adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk pengkhianatan dan bersetuju agar pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang terlibat supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.
“Kebelakangan ini terdapat beberapa kes melibatkan tulisan Ibrani dan pengibaran bendera Israel yang menyinggung perasaan rakyat serta bertentangan dengan dasar nasional yang disepakati semua pihak. Ia menyinggung masyarakat dan menyalahi dasar nasional secara keseluruhan. Apa jua niat, ia tetap salah,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Terdahulu, polis Melaka merekodkan keterangan seorang pesara kerajaan yang menampal pelekat bertulisan Ibrani pada kenderaan pacuan empat roda miliknya.
Pesara berusia 59 tahun itu mendakwa memperoleh pelekat berkenaan daripada sebuah kedai di Selangor 13 tahun lalu dan menukar frasa asal “Israel Betainu” (Israel adalah rumah kami) kepada “Malizia Beiteinu” (Malaysia adalah rumah kami).
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.












