Malaysia–Türkiye meterai tujuh dokumen perkukuh kerjasama strategik dua hala

Dalam kenyataan bersama, Anwar menyatakan keyakinan sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$10 bilion mampu dicapai, didorong oleh kekuatan ekonomi kedua-dua negara.

By
Pemeteraian tujuh dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan. / Foto: PMO / Other

Malaysia dan Türkiye memeterai tujuh dokumen penting bagi memperkukuh kerjasama strategik dua hala merentasi pelbagai sektor, disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan, sempena lawatan rasmi tiga hari Anwar ke negara itu.

Antara dokumen utama yang ditandatangani ialah Deklarasi Bersama Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi, selain Surat Niat perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Desan Shipyard.

Kerjasama turut merangkumi bidang teknologi maklumat dan komunikasi, penyelidikan strategik, pelaburan serta kewangan.

Dalam kenyataan bersama, Anwar menyatakan keyakinan sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$10 bilion mampu dicapai, didorong oleh kekuatan ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata Türkiye memiliki ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan, manakala Malaysia terus berkembang sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data dan teknologi baharu termasuk nadir bumi.

Menurut Anwar, kerjasama Malaysia–Türkiye bukan sekadar tertumpu kepada perdagangan tradisional, malah perlu diperluaskan kepada disiplin baharu melalui pendidikan dan penyelidikan bersama.

Beliau menegaskan mekanisme kukuh perlu dirangka bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama pertahanan sedia ada, khususnya dalam industri maritim dan aeroangkasa Türkiye, yang disifatkan memberi kelebihan strategik kepada Malaysia melalui pendekatan kerajaan-ke-kerajaan berasaskan tadbir urus baik dan ketelusan.

Skop kerjasama dua hala juga akan diperluaskan ke sektor industri halal dan kewangan Islam, yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama.

Dari segi ekonomi, jumlah perdagangan Malaysia–Türkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion, manakala pada 2024 Türkiye kekal sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai rakan ekonomi strategik negara.

Dalam pada itu, Anwar turut menerima anugerah Order of the Republic, iaitu darjah kebesaran tertinggi Turkiye, sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden Erdogan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Presiden di Ankara, Türkiye bersempena lawatan rasmi tiga hari Anwar ke republik itu, yang bermula pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan berkata beliau menerima anugerah itu dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

"Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat," katanya.

Anwar juga berharap pengiktirafan itu akan terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Türkiye merentasi pelbagai bidang strategik, demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi republik berkenaan yang diberikan kepada pemimpin luar yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye.