ASIA
1 min membaca
Malaysia, AS perlu muktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas – PM Anwar
Saya tegaskan kepentingan untuk memuktamadkan rundingan perjanjian tersebut kerana ia akan mendorong perancangan komuniti perniagaan kedua-dua buah negara,” kata Anwar Ibrahim.
Malaysia, AS perlu muktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas – PM Anwar
“Hubungan sebegini penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik yang mapan,” kata Anwar. / Foto: Pejabat Perdana Menteri.
26 September 2025

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan Malaysia dan Amerika Syarikat untuk segera memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang sedang dirundingkan, demi memberi hala tuju jelas kepada dasar serta komuniti perniagaan di kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer bersama delegasi AS sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur pada Khamis.

“Dalam pertemuan ini kami bertukar pandangan mengenai hubungan strategik Malaysia-AS serta ASEAN, khususnya dari sudut perdagangan. Saya tegaskan kepentingan untuk memuktamadkan rundingan perjanjian tersebut kerana ia akan mendorong perancangan komuniti perniagaan kedua-dua buah negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dengan ekonomi terbuka, sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagangnya.

“Hubungan sebegini penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik yang mapan,” ujarnya.

Pertemuan itu menandakan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan strategik bersama Amerika Syarikat, selaras dengan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

SUMBER:TRT Global