Malaysia zahir solidariti kepada Kuwait, Oman susulan ketegangan Asia Barat
Beliau turut menyampaikan rasa simpati Malaysia terhadap kedua-dua negara berkenaan yang kini berdepan ancaman langsung terhadap infrastruktur nasional dan keselamatan rakyat mereka akibat percikan konflik yang semakin meluas.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada Kuwait dan Oman dalam mendepani cabaran kedaulatan serta keselamatan ekoran konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Solidariti itu disampaikan melalui perbincangan berasingan bersama Perdana Menteri Kuwait Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah dan Menteri Luar Oman Sayyid Badr Albusaidi.
Dalam perbualan tersebut, Anwar bertukar pandangan mengenai situasi serantau yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat, dan Iran.
Beliau turut menyampaikan rasa simpati Malaysia terhadap kedua-dua negara berkenaan yang kini berdepan ancaman langsung terhadap infrastruktur nasional dan keselamatan rakyat mereka akibat percikan konflik yang semakin meluas.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar turut merakamkan penghargaan atas komitmen jitu yang diberikan oleh kerajaan Kuwait dan Oman dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang menetap di sana.
“Kesempatan ini juga saya sampaikan penghargaan di komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di sana,” kata Anwar.
Malaysia turut memuji peranan signifikan yang dimainkan oleh Oman sebagai orang tengah dalam usaha meredakan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.
Usaha diplomasi ini dianggap kritikal bagi mengelakkan rantau tersebut terus terjerumus ke dalam kancah peperangan yang lebih besar dan memusnahkan.
Anwar menegaskan bahawa semua pihak telah mencapai konsensus mengenai kepentingan mengutamakan penyelesaian aman dan mengamalkan kawalan diri.
Langkah itu, katanya, amat perlu bagi menghalang ketidakstabilan serantau daripada terus meruncing yang boleh memberi kesan domino kepada ekonomi dan keselamatan global.