Kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan kawalan lebih ketat terhadap pelaburan pusat data berskala besar bagi mengelakkan infrastruktur digital itu disalah guna oleh sindiket penipuan atas talian dan rangkaian modal tidak sah, lapor The Nation.
Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC) menegaskan bahawa langkah itu diperlukan memandangkan pasaran tersebut dijangka melonjak kepada 2 trilion baht menjelang tahun 2031.
Pemangku Setiausaha Agung NBTC Trairat Viriyasirikul menyuarakan kebimbangan bahawa pusat data berisiko menjadi pangkalan operasi bagi kumpulan haram untuk mencuci wang atau menjadi hab komunikasi bagi pusat panggilan penipuan.
Walaupun belum ada bukti kukuh mengenai penglibatan langsung setakat ini, sifat perniagaan yang melibatkan pemindahan data rentas sempadan yang besar menuntut pihak berkuasa untuk lebih berwaspada terhadap profil pelanggan dan kredibiliti pelabur.
Bagi memperkukuh pemantauan, NBTC merancang untuk menaik taraf keperluan lesen kepada 'Tahap 3', iaitu kategori sama yang digunakan oleh pengendali rangkaian telekomunikasi utama.
Melalui ketetapan itu, pemeriksaan berkala ke atas piawaian infrastruktur dapat dijalankan, selain memberikan akses lebih mendalam kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti identiti pengguna akhir bagi memastikan ia tiada kaitan dengan aktiviti haram.
Selain aspek keselamatan siber, peraturan baharu itu juga akan merangkumi kawalan pengezonan bagi mengawal penggunaan sumber elektrik dan air yang tinggi oleh pusat data.
Langkah ini menyusul selepas beberapa negara jiran seperti Singapura mula memperketat kelulusan projek baharu, yang secara tidak langsung menyebabkan aliran pelaburan pusat data kini beralih dengan pesat ke Thailand.
Setakat ini, Lembaga Pelaburan telah meluluskan tujuh projek pusat data bernilai lebih 96 bilion baht, melibatkan pelabur gergasi dari Singapura, Jepun, dan Eropah.
Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 36 permohonan pelaburan baharu bernilai 728 bilion baht telah dikemukakan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab pusat data serantau yang sedang berkembang pesat.
NBTC menegaskan bahawa pengenalan peraturan baharu itu bukanlah bertujuan untuk menyekat pelaburan asing, sebaliknya untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keselamatan nasional.
Draf peraturan tersebut akan dibuka untuk rundingan awam bagi memastikan Thailand bersedia mendepani cabaran jenayah era digital tanpa menjejaskan daya saing ekonomi digitalnya.












