Sihasak: Rundingan RBC Thailand–Kemboja tidak gagal, ada tanda positif
Menurut Sihasak, walaupun beberapa isu masih belum diselesaikan, kesinambungan perbincangan membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian secara aman serta membina hubungan yang lebih stabil.
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menegaskan bahawa rundingan Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) antara Thailand dan Kemboja yang belum menghasilkan perjanjian bertulis tidak wajar dianggap sebagai satu kegagalan, lapor The Nation.
Sebaliknya, beliau berkata situasi itu merupakan sebahagian daripada proses rundingan yang lazim, sambil menekankan bahawa kesediaan kedua-dua pihak untuk terus berdialog merupakan isyarat positif dan langkah ke hadapan yang jauh lebih baik berbanding konflik bersenjata yang membawa kemusnahan dan kerugian.
Menurut Sihasak, walaupun beberapa isu masih belum diselesaikan, kesinambungan perbincangan membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian secara aman serta membina hubungan yang lebih stabil.
Beliau turut mengingatkan pihak Kemboja tentang kepentingan mengekalkan komunikasi langsung melalui kerangka RBC, selain menekankan keperluan membina kepercayaan bersama dan berhati-hati dalam penggunaan bahasa bagi mengelakkan tafsiran campur tangan dalam urusan dalaman masing-masing.
Sihasak berkata keutuhan sebarang persetujuan bukan sekadar bergantung kepada pemeteraian dokumen, tetapi memerlukan kefahaman sebenar dan kepercayaan yang mampu mencegah isu sama berulang pada masa hadapan.
Menurut beliau, kementeriannya akan mendapatkan pandangan masyarakat dan komuntii perniagaan di kawasan sempadan.
Beliau menegaskan matlamat Thailand adalah untuk membina hubungan jangka panjang dengan Kemboja berasaskan kepercayaan, komunikasi telus dan hormat terhadap kedaulatan masing-masing.
Sihasak turut mengulangi komitmen Bangkok untuk bersikap berhati-hati dan mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara jiran dalam ASEAN, termasuk melalui pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Filipina di sela-sela Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN.