Gangguan sistem penerbangan global jejaskan daftar masuk, naik pesawat di lapangan terbang Malaysia
Malaysia Airports memaklumkan gangguan itu berpotensi memberi kesan kepada pemprosesan penumpang.
Sistem pemprosesan penumpang global yang digunakan oleh pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia berdepan gangguan yang menjejaskan proses daftar masuk dan naik pesawat di lapangan terbang Malaysia, kata Malaysia Airports Holdings Bhd.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial rasminya, Malaysia Airports memaklumkan gangguan itu berpotensi memberi kesan kepada pemprosesan penumpang, sekali gus menyebabkan syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang kendaliannya mengaktifkan prosedur luar jangka.
“Situasi di semua lapangan terbang kami sedang diurus dengan rapi, dengan keselamatan dan keselesaan penumpang kekal menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Pengendali lapangan terbang itu berkata kiosk layan diri kekal beroperasi sepenuhnya, membolehkan penumpang mencetak pas naik pesawat dan tag bagasi seperti biasa.
“Penumpang dinasihatkan supaya mengikuti panduan syarikat penerbangan dan lapangan terbang di terminal, menyemak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini jadual penerbangan, serta menggunakan daftar masuk dalam talian sekiranya tersedia,” katanya.