Kedudukan makroekonomi Malaysia ketika ini dinilai lebih ampuh untuk berhadapan dengan sebarang kejutan ekonomi berbanding situasi semasa pandemik COVID-19.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Apurva Sanghi, berkata walaupun ruang fiskal negara semakin sempit, kebanyakan penunjuk utama ekonomi menunjukkan prestasi yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Data menunjukkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2025 adalah sebanyak 5.2%, meningkat berbanding 4.4% pada 2019.
Malah, pasaran buruh kini menghampiri tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah 3%, iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad.
Pendapatan per kapita sebenar rakyat juga mencatatkan peningkatan sekitar 13% lebih tinggi berbanding tempoh sebelum pandemik melanda, katanya dalam satu kenyataan di X.
Bagaimanapun, beberapa cabaran tetap wujud terutamanya melibatkan inflasi dan kedudukan fiskal.
Menurut Sanghi, kadar inflasi Malaysia kini berada pada 1.6% berbanding 0.7% pada 2019, manakala nisbah hutang kepada KDNK melonjak kepada 64.7%.
Peningkatan pembayaran faedah hutang ini mengecilkan ruang kerajaan untuk memberikan rangsangan ekonomi sekiranya berlaku krisis yang tidak dijangka pada masa hadapan.
Sanghi turut menyuarakan kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan global, khususnya melibatkan bahan api dan makanan.
Memandangkan Malaysia adalah negara ekonomi terbuka, kenaikan harga tenaga yang berlarutan boleh menjejaskan pelaburan dalam sektor teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan penggunaan kuasa yang tinggi.
Selain itu, sektor pelancongan yang menjadi pemacu ekonomi pada 2025 dijangka terkesan akibat peningkatan kos bahan api.
Dari sudut fiskal, reformasi subsidi bahan api mungkin perlu disemak semula memandangkan kedudukan kewangan negara yang mencabar.
Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang kenaikan harga petrol atau diesel harus dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan kesan rantaian yang drastik terhadap kos sara hidup rakyat dan kestabilan ekonomi domestik.
Secara keseluruhannya, struktur ekonomi Malaysia yang dipelbagaikan dengan komoditi dan pembuatan, serta sektor kewangan yang stabil, memberikan kelebihan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Sanghi mengingatkan bahawa kunci utama ketika ini bukanlah panik, sebaliknya persediaan rapi daripada pihak kerajaan dan juga rakyat dalam mendepani cabaran geopolitik yang semakin meruncing.












