Pakar ekonomi AS selar Netanyahu ‘gila kuasa’, puji ketegasan Anwar
Jeffrey Sachs menuduh pemimpin Israel itu memperalatkan kitab suci seperti Taurat dan Injil semata-mata untuk mencetuskan huru-hara dan menghalalkan pendudukan haram Israel di Palestin.
Pakar ekonomi terkemuka dunia, Prof Jeffrey Sachs, melemparkan kritikan pedas terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan menyifatkan pemimpin itu sebagai seorang yang narsisistik dan berdelusi.
Beliau mendakwa Netanyahu sengaja menggunakan retorik keagamaan yang menyesatkan demi kepentingan politik peribadinya, sekali gus mengheret dunia ke kancah krisis ekonomi global yang meruncing.
Sachs berkata demikian susulan kenyataan Netanyahu baru-baru ini yang berkata Israel bakal melihat kepulangan “Al-Masih” tidak lama lagi dan peperangan Israel di Iran adalah antara perkara yang boleh mempercepatkan kedatangan entiti itu ke dunia.
Bercakap selepas forum 'Strategies for Malaysia and ASEAN in an Era of Global Instability' yang dikendalikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, Sachs menegaskan penggunaan istilah Hari Kiamat seperti "kepulangan Al-Masih" oleh Netanyahu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Beliau menuduh pemimpin Israel itu memperalatkan kitab suci seperti Taurat dan Injil semata-mata untuk mencetuskan huru-hara dan menghalalkan pendudukan haram Israel di Palestin.
Sachs, yang juga Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) PBB, menyifatkan Netanyahu sebagai dalang di sebalik siri keganasan berpanjangan di Timur Tengah.
Beliau memberi amaran keras bahawa tindakan melampau Israel kali ini bukan sahaja menggugat kestabilan serantau, malah bakal mencetuskan krisis ekonomi di peringkat antarabangsa yang akan memberi kesan kepada seluruh penduduk dunia.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik kegagalan badan antarabangsa dan sikap berdiam diri sesetengah kuasa besar.
Sachs berpendapat konflik itu hanya akan berakhir sekiranya negara-negara utama dunia berani bersatu untuk mengutuk tindakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) secara terbuka.
Beliau mendakwa banyak negara kini "mengunci mulut" kerana bimbang hubungan ketenteraan dan politik mereka dengan Washington mungkin terkesan.
Menyentuh mengenai kepimpinan serantau, Sachs memuji keberanian Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai satu "pengecualian luar biasa" dalam kalangan pemimpin dunia.
Menurutnya, Anwar bersuara dengan jelas, benar, dan bermoral dalam isu Palestin, berbanding pemimpin lain yang mungkin merasa terancam untuk menyatakan kebenaran secara bersendirian.
Sebagai langkah ke hadapan, beliau menyeru agar blok serantau seperti ASEAN dan pakatan global seperti BRICS menggembleng suara secara kolektif.
Tegasnya, apabila ratusan juta rakyat diwakili melalui satu suara yang padu, Amerika Syarikat tidak mempunyai pilihan lain selain mendengar desakan dunia untuk menamatkan peperangan tersebut dengan segera.