Sebahagian besar objektif di bawah Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN bagi menangani krisis di Myanmar telah dicapai, namun perang saudara yang berlarutan di negara itu masih menjadi halangan utama, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Beliau berkata pelantikan utusan khas dan pelaksanaan beberapa siri libat urus di bawah rangka kerja 5PC telah dilaksanakan dengan baik.
“Apa yang masih belum tercapai ialah penghentian keganasan dan akses kepada bantuan kemanusiaan. Gangguan bukan hanya berpunca daripada kerajaan, tetapi juga konflik antara etnik di sana,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mohamad menjelaskan bahawa kekacauan di lapangan menyebabkan bantuan tidak sampai kepada kumpulan yang memerlukan.
“Sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, tahap keganasan di Myanmar telah banyak berkurangan,” katanya, sambil menambah bahawa perang saudara di negara itu berbeza daripada dinamika konflik antara Kemboja dan Thailand.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada peringkat awal, kumpulan yang bertelagah gagal mencapai persefahaman, namun keadaan bertambah baik selepas beberapa siri rundingan.
Malaysia, katanya, telah mengambil maklum senarai tuntutan mereka dan menyampaikannya kepada kerajaan junta Myanmar.
Konsensus Lima Perkara Asean bagi Myanmar merangkumi pelan damai yang menyeru kepada penghentian segera keganasan, dialog inklusif nasional, penyampaian bantuan kemanusiaan, serta penyelesaian aman terhadap konflik dalaman negara itu.















