Thailand tutup lintasan sempadan susulan pertempuran KNU–Tentera Myanmar semakin memuncak
Kedua-dua pihak saling melepaskan tembakan mortar 60mm dan 120mm secara berterusan, selain serangan berulang menggunakan dron untuk menjatuhkan bahan letupan ke lokasi strategik.
Pertempuran antara Briged 6 daripada Karen National Union (KNU) dan Briged 22 tentera Myanmar di Myawaddy, bersebelahan daerah Mae Sot, terus memuncak sejak Ahad hingga lewat malam dengan bunyi tembakan berat jelas kedengaran dari sisi Thailand, lapor The Nation.
Kedua-dua pihak saling melepaskan tembakan mortar 60mm dan 120mm secara berterusan, selain serangan berulang menggunakan dron untuk menjatuhkan bahan letupan ke lokasi strategik.
Usaha tentera Myanmar untuk mara ke kedudukan KNU mencetuskan pertempuran lebih sengit, dengan serangan dron dan tembakan senjata berat dilaporkan secara berselang, namun setakat ini tiada korban dan tiada impak langsung ke atas wilayah Thailand.
Susulan situasi yang semakin tegang, Pasukan Petugas Naresuan mengarahkan semua pintu masuk sempadan ditutup selama tujuh hari bagi menghalang pergerakan orang awam atau kumpulan bersenjata.
Hanya Jambatan Persahabatan Thai–Myanmar 1 di Mae Sot kekal dibuka untuk laluan biasa.
Komander Pasukan Petugas Naresuan Mej Jen Maitree Chupreecha dan Ketua Daerah Mae Sot Sanya Phetset berada di kawasan kejadian bersama pegawai tempatan bagi memantau keadaan.
Anggota Pasukan Khas Ratchamanu, Pasukan Petugas Naresuan dan Polis Gerakan Am 346 turut dikerah bagi memperkukuh keselamatan sempadan.
Pada 30 November, lima das mortar daripada pertempuran di Myanmar jatuh ke dalam wilayah Thailand, mencederakan dua warga Myanmar yang menetap bersama penduduk tempatan.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa sebarang tembakan rentas sempadan selepas ini akan menerima tindakan balas serta-merta demi mempertahankan kedaulatan Thailand.