Malaysia berkemungkinan mengekalkan kawalan terhadap loji tenaga nuklear negara menerusi entiti berkaitan kerajaan, dengan struktur pemilikan yang serupa dengan loji nuklear Barakah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut CIMB Research.
Firma penyelidikan itu berkata model berkenaan mungkin menyaksikan entiti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) memegang kepentingan majoriti, manakala pembekal teknologi nuklear berpengalaman memiliki pegangan minoriti serta menyediakan sokongan pembinaan dan operasi.
“Pada pandangan kami, keputusan akhir perlu memberi tumpuan kepada pembahagian liabiliti bagi lebihan kos, kelewatan, prestasi operasi, tanggungjawab bahan api dan sisa, serta risiko tarif jangka panjang,” kata CIMB.
Di UAE, Emirates Nuclear Energy Company (ENEC) milik kerajaan mengekalkan 82 peratus kepentingan dalam syarikat komersial dan operasi projek Barakah, manakala Korea Electric Power Corporation (KEPCO) memegang baki 18 peratus.
Kesemua empat reaktor loji itu mula beroperasi secara komersial sepenuhnya menjelang September 2024.
Malaysia kini memulakan semula fasa pertama kerangka “Milestones Approach” Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi membangunkan asas institusi dan komersial untuk program tenaga nuklear.
Pemilik dan pengendali projek berpotensi dimuktamadkan pada fasa kedua.
CIMB berkata kerajaan masih belum memilih teknologi nuklear yang akan digunakan, di mana tiga pilihan sedang dinilai iaitu reaktor konvensional berskala besar, reaktor modular kecil (SMR) dan loji tenaga nuklear terapung.
























