PERANG GAZA
6 min membaca
Dua tahun genosid: Bagaimana Israel desak Gaza ke ambang kebuluran
Kebuluran di Gaza tidak seperti kebuluran lain bukan berpunca daripada bencana alam atau kemorosotan ekonomi, tetapi daripada dasar yang sengaja dicipta menggunakan makanan dan air sebagai senjata genosid, kata seorang pegawai.
Dua tahun genosid: Bagaimana Israel desak Gaza ke ambang kebuluran
Israel telah menyebabkan penduduk Gaza menderita dalam kebuluran jauh lebih lama sebelum 2023. / AA
7 Oktober 2025

Israel didakwa sengaja mencetuskan krisis kelaparan di Gaza melalui dasar sekatan dan penyekatan bantuan kemanusiaan, kata pakar dan kumpulan hak asasi menambah setiap keputusan yang diambil mengetatkan lagi kawalan terhadap bekalan makanan sehingga rakyat terjerumus ke dalam kelaparan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza pada akhir Ogos, mengesahkan kebimbangan beberapa badan pemantau dan pakar beberapa bulan sebelumnya. Sebulan kemudian, satu suruhanjaya siasatan antarabangsa bebas PBB mengesahkan bahawa Israel telah melakukan jenayah genosid di Gaza.

Susulan itu, muncul rayuan berulang kali daripada tokoh kemanusiaan tertinggi termasuk ketua bantuan PBB, Tom Fletcher, yang mendesak agar “halangan sistematik” Israel terhadap bekalan keperluan dan bantuan dihentikan yang sering menjadi penafian Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan kerajaannya

Bagi Ramy Abdu, pengerusi Euro-Med Human Rights Monitor yang berpusat di Geneva, dasar sekatan keperluan asas untuk kelangsungan hidup manusia membuktikan niat Israel untuk membuat rakyat Gaza kebuluran dan membunuh lebih ramai warga Palestin.

“Kebuluran di Gaza berbeza daripada kebuluran lain kerana ia bukan berpunca daripada bencana alam atau kemorosotan ekonomi semata-mata,” kata Abdu kepada Anadolu.

“Sebaliknya, ia adalah dasar yang menggunakan makanan dan air sebagai senjata peperangan serta alat untuk melakukan genosid.”

Beliau berkata bahawa pegawai Israel secara terbuka telah menyatakan niat tersebut sejak awal peperangan.

“Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menjadikan kebuluran sebagai senjata terhadap orang awam merupakan jenayah perang namun di Gaza, jenayah ini sedang dilakukan secara terang-terangan dan terbuka,” katanya.

‘Kerapuhan yang direka’ berubah menjadi ‘senjata pemusnahan perlahan’

Israel telah lama memusnahkan keselamatan makanan Gaza jauh sebelum Oktober 2023.

Negara itu telah mengenakan sekatan sejak 2006 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa Israel untuk mengawal semua lintasan sempadan dan pada masa-masa tertentu, bahkan mengira jumlah kalori harian yang dibenarkan bagi setiap rakyat Palestin.

Menjelang 2023, empat daripada lima penduduk Gaza bergantung kepada bantuan kemanusiaan, kadar pengangguran belia mencecah 67 peratus, dan penyakit berkaitan kekurangan zat makanan seperti anemia semakin meluas, kata Abdu.

“Kerapuhan yang sengaja dicetuskan ini menjadikan masyarakat tidak dapat menahan sebarang gangguan terhadap bantuan,” katanya. “Apabila Israel menutup lintasan sempadan, tiada alternatif tempatan atau kapasiti pengeluaran bagi kekurangan itu. Pada masa sama, Israel mengebom dan meratakan kawasan pertanian, memusnahkan sumber makanan utama Gaza.”

Titik perubahan berlaku pada 9 Oktober 2023, apabila Israel mengisytiharkan “kepungan sepenuhnya” terhadap Gaza, memutuskan bekalan makanan, air, bahan api dan elektrik. Import terhenti serta-merta, konvoi bantuan tersekat di sempadan dan kekurangan menjadi semakin parah.

Tanpa bahan api, kedai roti ditutup, pam air tidak berfungsi dan trak tidak dapat bergerak. Makanan tidak dapat dibakar, disimpan atau dihantar. Air bersih hilang, menambah penderitaan dengan penyebaran penyakit.

Abdu turut menyorot kepada kemusnahan tanah pertanian dan larangan menangkap ikan yang menurutnya merupakan sebahagian daripada corak lebih besar tindakan Israel untuk menghapuskan sumber makanan Gaza.

“Penjajahan ini telah menukar kerentanan yang diciptanya selama bertahun-tahun menjadi senjata pemusnahan senyap,” katanya.

Pemindahan paksa menambah derita dalam kelaparan

Arahan pemindahan oleh Israel termasuk dengan pengeboman berterusan telah memaksa penghijrahan besar-besaran, menyebabkan tempat perlindungan sesak dan menekan bekalan yang sedia ada.

Kini, dianggarkan 2 juta rakyat Palestin dipindahkan di seluruh wilayah jajahan yang musnah itu.

“Kebanyakan mereka terpaksa melarikan diri secara tiba-tiba tanpa membawa apa-apa,” kata Abdu.

Kanak-kanak dan wanita mengandung merupakan golongan paling terjejas. Isu kelaparan diburukkan lagi oleh penyakit dan kekurangan air bersih sehingga mencetuskan apa yang disebut Abdu sebagai “krisis menyeluruh dalam hak terhadap makanan, kesihatan dan tempat tinggal.”

Menjelang awal 2024, Israel meningkatkan serangan terhadap talian hayat utama kemanusiaan Gaza, iaitu Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di bawah PBB.

Penggantungan dana oleh penderma telah melumpuhkan agensi itu, gudang-gudangnya dibom, konvoi bantuan dihalang, dan kejadian rompakan dilaporkan.

Israel menyekat bantuan ke utara Gaza sejak awal 2024, mengetatkan sekatan selepas serangan pada Oktober dan menutup Rafah, satu-satunya pintu keluar Gaza pada bulan Mei.

Setahun kemudian pada Mei 2025, Israel dengan sokongan AS melancarkan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang penuh kontoversi untuk mengawasi bantuan.

Langkah itu dikritik hebat PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia dianggap sebagai satu bentuk mempersenjatai bantuan kemanusiaan .Malah zon bantuan tersebut digambarkan sebagai “perangkap maut.” Sejak itu, lebih daripada 1,760 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan, hampir 1,000 daripadanya maut di tapak GHF, menurut pejabat hak asasi manusia PBB.

“Meneliti tindakan dan kenyataan Israel sekatan yang panjang, penutupan lintasan, sekatan konvoi, sasaran gudang makanan, pemusnahan tanah pertanian, larangan menangkap ikan, merosakkan UNRWA, merompak bantuan, serangan ke atas orang awam yang mencari makanan, serangan ke atas polis dan pengiring keselamatan, arahan pemindahan yang tidak sah berulang kali dan bahkan penciptaan Gaza Humanitarian Foundation yang kononny menunjukkan pola yang jelas,” kata Abdu.

“Ini bukan kekacauan yang tidak sengaja tetapi dasar kebuluran yang dirancang dengan teliti.”

Pengisytiharan kebuluran tanpa tindakan berkesan

Pada 22 Ogos, Integrated Food Security Phase Classification (IPC) secara rasmi mengisytiharkan berlakunya kebuluran di beberapa kawasan di Gaza, selepas tiga ambang kritikal — kekurangan makanan melampau, kekurangan zat akut dan kematian akibat kebuluran — dilanggar.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah kematian rakyat Palestin yang dikaitkan dengan kebuluran mencecah sekurang-kurangnya 460 orang, termasuk lebih 150 kanak-kanak.

Krisis yang semakin meruncing itu menyebabkan seorang daripada lima kanak-kanak di Bandar Gaza mengalami kekurangan zat makanan, dengan kes meningkat setiap hari.

“Walaupun kebuluran telah diisytiharkan secara rasmi, tiada langkah berkesan diambil. Masyarakat antarabangsa gagal memaksa Israel, yang terus mengingkari resolusi PBB dengan sokongan AS dan Eropah,” kata Abdu.

Beliau menambah bahawa pengiktirafan kebuluran mempunyai nilai dalam mengukuhkan konsensus undang-undang dan moral, serta membuka jalan untuk akauntabiliti di hadapan badan seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kebuluran yang disengajakan seperti ini merupakan jenayah perang. Dengan banyak bukti yang menunjukkan terdapat niat dan kesan negatif, tindakan ini memenuhi syarat jenayah genosid,” kata Abdu.

‘Tindakan yang tidak seberapa’

Pada September, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitul Maqdis Timur dan Israel, memutuskan bahawa Israel telah melakukan jenayah genosid di Gaza.

Selepas dua tahun siasatan, suruhanjaya itu mendapati pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Israel telah melakukan empat daripada lima perbuatan genosid yang ditakrifkan di bawah Konvensyen Genosid 1948 — pembunuhan beramai-ramai, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius, sengaja mewujudkan keadaan hidup untuk memusnahkan rakyat Palestin, dan menghalang kelahiran bayi.

Suruhanjaya itu menyimpulkan bahawa “Israel bertanggungjawab atas kegagalan mencegah genosid, pelaksanaan genosid, serta kegagalan menghukum pelaku genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.”

“Israel mesti menamatkan dasar kebuluran, menarik balik sekatan, dan memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan dalam skala besar serta membenarkan semua kakitangan PBB, termasuk UNRWA dan OHCHR, serta agensi kemanusiaan antarabangsa yang lain untuk menghantar dan menyelaras bantuan,” menurut kenyataan bertarikh 16 September itu.

Abdu menegaskan bahawa pengisytiharan tersebut sangat penting, namun memerlukan keazaman untuk dilaksanakan.

“Melabelkan tindakan Israel sebagai genosid seharusnya menjadi kewajipan di bawah Konvensyen Genosid 1948, termasuk pencegahan dan hukuman. Ini sepatutnya bermaksud ada tekanan politik dan undang-undang bagi menjamin penghantaran bantuan,” katanya.

“Namun dalam realiti, tindakan yang diambil tidak seberapa.”

SUMBER:AA