Tindakan Amerika Syarikat (AS) memasukkan negara-negara Asia Tenggara dalam senarai rakan ekonomi yang bakal disiasat atas dakwaan amalan perdagangan tidak adil dijangka akan membuatkan rantau ini menjauhkan diri dari Washington, lapor South China Morning Post.
Siasatan di bawah Seksyen 301 yang diumumkan pentadbiran Donald Trump itu merangkumi dakwaan buruh paksa dan lebihan dagangan, yang boleh membawa kepada pengenalan tarif baharu terhadap negara anggota ASEAN.
Tujuh negara ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Kemboja, Thailand, dan Vietnam kini berada dalam radar Washington bersama kuasa besar lain seperti Kesatuan Eropah dan China.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, menegaskan AS tidak lagi akan "mengorbankan asas industrinya" kepada negara lain yang mengeksport masalah lebihan kapasiti pengeluaran ke pasaran mereka, demi melindungi peluang pekerjaan rakyat Amerika.
Penganalisis melihat langkah itu sebagai cubaan untuk mencabar keputusan Mahkamah Agung AS yang sebelum ini membatalkan beberapa tarif menyeluruh.
Kevin Chen dari S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) berpendapat, kedegilan pentadbiran Trump menunjukkan bahawa tarif tetap akan menjadi "batu asas" kepada hubungan perdagangan AS dengan rantau ini, walaupun ia mencetuskan ketidaktentuan undang-undang dan diplomatik.
Situasi itu mencetuskan percanggahan data yang ketara, terutamanya melibatkan Singapura yang dituduh mempunyai lebihan dagangan dengan AS, sedangkan data domestik menunjukkan sebaliknya.
Sektor semikonduktor Singapura yang menyumbang 10% cip dunia dijangka menerima tekanan hebat, sementara negara-negara seperti Vietnam dan Malaysia pula disasarkan kerana integrasi mendalam mereka dengan rantaian bekalan dari China.
Ketidaktentuan dasar perdagangan Washington ini dipercayai akan memaksa syarikat-syarikat di Asia Tenggara untuk terus mempelbagaikan pasaran dan beralih lebih dekat kepada China atau kuasa tengah lain seperti Jepun dan Australia.
Pakar ekonomi memberi amaran bahawa langkah AS ini bukanlah tentang memilih pihak, sebaliknya merupakan strategi "menyebarkan risiko" bagi mengelakkan pendedahan melampau terhadap dasar AS yang sukar diramal.
Di peringkat serantau, penentangan mula kelihatan apabila terdapat menteri yang menyifatkan perjanjian perdagangan dengan AS sebagai "terbatal" (null and void), walaupun kenyataan itu kemudiannya diperbetulkan.
Namun, sentimen itu mencerminkan keraguan yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin ASEAN sama ada konsesi politik yang diberikan kepada Washington masih berbaloi, memandangkan layanan istimewa yang dijanjikan dilihat semakin terhakis disebabkan siasatan tersebut.












