Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan buat kerajaan Iran atas kerjasamanya memudah cara kepulangan sebuah kapal tangki minyak milik Malaysia serta anak kapalnya susulan ketegangan yang kian memuncak di Timur Tengah.
Beliau memaklumkan bahawa Iran telah memberikan pelepasan awal bagi membolehkan kapal serta warga kerja yang terlibat meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.
Anwar secara khusus merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian atas keprihatinan menyegerakan proses tersebut.
Beliau mengesahkan bahawa kerajaan kini sedang giat menguruskan proses terakhir bagi memastikan semua pekerja terlibat dapat disatukan semula dengan keluarga mereka dalam masa terdekat.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian atas pelepasan awal yang diberikan. Kita kini dalam proses menguruskan kepulangan kapal tangki minyak Malaysia serta pekerja terlibat agar mereka dapat pulang segera," kata beliau.
Mengulas mengenai situasi serantau, Perdana Menteri menegaskan Malaysia terus aktif berhubung dengan pemimpin-pemimpin Asia Barat dalam usaha meredakan konflik.
Namun, beliau mengakui usaha damai kekal mencabar memandangkan pihak Iran kini lebih berhati-hati dengan sebarang rundingan yang tidak disertakan dengan jaminan keselamatan yang kukuh.
Selain isu diplomatik, Anwar menyatakan bahawa Malaysia tidak terlepas daripada impak ekonomi global, terutamanya gangguan bekalan tenaga ekoran sekatan di Selat Hormuz.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kedudukan Malaysia masih stabil dan jauh lebih baik berbanding negara lain, hasil keupayaan strategik Petronas yang telah lama kukuh.
Tegas beliau, keutamaan kerajaan adalah untuk terus mempertahankan kepentingan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terjaga.















