Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4% hingga 5% tahun ini - Bank Negara
Sasaran ini memperlihatkan pertumbuhan yang lebih sederhana berbanding pengembangan 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2025, namun tetap mencerminkan daya tahan domestik yang kukuh.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara bakal berkembang pada kadar antara empat hingga lima peratus bagi tahun 2026.
Sasaran ini memperlihatkan pertumbuhan yang lebih sederhana berbanding pengembangan 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2025, namun tetap mencerminkan daya tahan domestik yang kukuh.
“Dalam keadaan landskap global yang mencabar dan tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara empat peratus hingga lima peratus pada tahun 2026.
“Malaysia memasuki tempoh mencabar ini daripada kedudukan yang kukuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang mantap dan kedudukan luaran yang berdaya tahan.
“BNM akan terus berwaspada terhadap konflik Timur Tengah yang semakin meruncing,” kata Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini.
Jelasnya, pertumbuhan tersebut akan terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang stabil.
Selain itu, peningkatan pelaburan dan permintaan global yang mampan terhadap eksport elektrik dan elektronik (E&E) menjadi pemacu utama ekonomi negara.
Sektor pelancongan turut dijangka memberi sumbangan signifikan bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Abdul Rasheed, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih juga memberikan kelebihan serta daya tahan tambahan buat negara dalam mendepani kenaikan harga komoditi di peringkat global.
Dari aspek kos sara hidup, kadar inflasi dijangka kekal terkawal dalam lingkungan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus.
Meskipun terdapat risiko kenaikan harga ekoran ketidaktentuan harga komoditi dan tenaga dunia, BNM menegaskan bahawa pelbagai dasar bersasar telah dilaksanakan bagi mengurangkan impak bebanan terhadap rakyat dan sektor perniagaan.
“Penggunaan isi rumah kekal sebagai teras pertumbuhan yang penting. Prospek pendapatan yang positif, pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang bersasar akan mengekalkan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan,” katanya.
Mengulas mengenai landskap global, beliau menyifatkan persekitaran ekonomi semasa semakin sukar diramal akibat pengaruh geopolitik yang mencorak keputusan ekonomi.
Sehubungan itu, Abdul Rasheed menekankan kepentingan untuk Malaysia dan ASEAN memperkasakan reformasi domestik serta serantau.
“Komitmen bersama dan keazaman kolektif ASEAN merupakan teras keyakinan, menyokong kegiatan ekonomi dan menyediakan persekitaran serantau yang lebih stabil,” tambahnya lagi.