Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan harga petrol di Malaysia kini jauh lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama dunia termasuk Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perkembangan ini, kata Anwar, sekaligus membuktikan janji untuk mengekalkan harga minyak yang berpatutan untuk rakyat telah ditunaikan.
Menurut Anwar, landskap ekonomi global telah banyak berubah jika dibandingkan dengan era sebelum beliau menerajui pentadbiran negara.
Meskipun negara-negara Teluk tersebut merupakan gergasi minyak dunia, realiti semasa menunjukkan kadar harga bahan api di Malaysia adalah jauh lebih kompetitif dan memihak kepada rakyat.
"Yang Berhormat Hulu Terengganu, harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu fakta pertama yang harus diingat. Kalau dikatakan janji saya dahulu ialah harga minyak mesti lebih rendah daripada Arab Saudi, maka janji itu sudah ditunaikan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan, ketika beliau membuat desakan penurunan harga petrol dahulu, harga bahan api di Arab Saudi adalah sekitar 50 sen seliter.
Bagaimanapun, ketika ini harga RON95 di Malaysia kekal pada paras RM1.99 seliter, berbanding di Arab Saudi yang telah melonjak melebihi RM2.40 seliter, manakala UAE turut mencatatkan kenaikan harga sejak dua bulan lalu.
Bagi mengurangkan beban sara hidup, Anwar berkata kerajaan pimpinan beliau akan terus memperkasakan jaringan keselamatan sosial melalui pelbagai inisiatif bantuan.
Jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bersasar RON95 melalui BUDI, serta subsidi diesel kini disifatkan jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran terdahulu.
Walaupun begitu, Anwar mengakui bahawa setiap pentadbiran berdepan kekangan ekonomi dan hasil negara yang berbeza-beza.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk sentiasa bersifat pragmatik dan bersedia menyesuaikan dasar demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.














