Perdagangan Malaysia-AS melonjak 15.4% walaupun berdepan tarif
Bagi menangani isu tarif timbal balas AS, kerajaan telah melaksanakan pendekatan menyeluruh melibatkan semua agensi kerajaan, menurut Zafrul.
Perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat melonjak sebanyak 15.4% kepada RM270.88 bilion dari Januari hingga September tahun ini berbanding RM234.68 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, dengan jumlah perdagangan yang besar ini, sebarang perubahan dalam dasar perdagangan AS — termasuk pelaksanaan tarif timbal balas terhadap Malaysia — boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kepentingan negara sekiranya tidak diurus dengan berhati-hati.
“Sekiranya Malaysia memilih untuk tidak berunding atau melaksanakan tarif timbal balas terhadap AS, ia boleh menjejaskan pasaran eksport bernilai RM198.65 bilion yang menyokong pelbagai sektor ekonomi termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memberi kesan kepada jutaan pekerja tempatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Bagi menangani isu tarif timbal balas AS, kerajaan telah melaksanakan pendekatan menyeluruh melibatkan semua agensi kerajaan, katanya.
“Melalui MITI, kerajaan melaksanakan diplomasi perdagangan untuk melindungi kepentingan negara tanpa menjejaskan keutamaan ekonomi, sambil mengekalkan hubungan strategik perdagangan dan pelaburan dengan AS. Pendekatan ini membuahkan hasil apabila rundingan antara Perdana Menteri dan Presiden AS berjaya dimeterai pada 26 Oktober, dengan tarif timbal balas dikekalkan pada kadar 19%,” katanya.
Zafrul menjelaskan bahawa tarif tinggi seperti 25% jika tidak diurus dengan baik boleh menjejaskan permintaan terhadap produk Malaysia di pasaran AS kerana barangan tempatan akan menjadi kurang kompetitif.
“Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan keuntungan, daya tahan serta kelestarian perniagaan tempatan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa syarikat-syarikat mungkin mengambil langkah penjimatan kos termasuk pengurangan tenaga kerja atau menangguhkan pelan pengembangan, manakala pelabur pula berpotensi memindahkan operasi ke negara yang menawarkan tarif lebih rendah.
“Kerajaan Madani akan terus memperkukuh daya saing eksport melalui Pelan Induk Perdagangan Negara (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, dengan sasaran jumlah eksport melebihi RM2 trilion menjelang 2030,” katanya.