Kerajaan akan meneruskan subsidi kepada golongan nelayan dan pesawah menerusi Belanjawan 2027, namun bantuan itu akan dinilai secara berkala bagi memastikan ia diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, menurut laporan Berita Harian.
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata subsidi tidak akan diteruskan kepada penerima yang sudah mampu berdikari.
“Pihak kementerian akan meneruskan bantuan subsidi untuk golongan nelayan dan pesawah menerusi Belanjawan 2027, manakala golongan yang sudah boleh berdikari, tidak akan diteruskan,” katanya pada perasmian MAHA Trade Days 2026 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2026).
Mohamad berkata kementeriannya turut memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2027 bagi menghadapi cuaca tidak menentu dan fenomena El Nino yang dijangka memberi cabaran lebih besar kepada Malaysia tahun depan.
“Ada persetujuan menambah peruntukan bagi membantu kita menghadapi cabaran cuaca global dan El Nino yang dijangka melanda Malaysia lebih hebat pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 14 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM1.49 bilion dimeterai pada hari pertama MAHA Trade Days 2026, termasuk pembangunan loji pemprosesan nanas di Tukau, Miri, Sarawak bernilai RM1.031 bilion.
Menurut Mohamad, jumlah itu merupakan sebahagian daripada sasaran lebih RM8 bilion nilai pelaburan dan perdagangan sepanjang MAHA 2026.
“Sasaran itu mencerminkan aspirasi kementerian menjadikan MAHA bukan sekadar platform pameran, tetapi medan strategik bagi menjana peluang perdagangan, menarik pelaburan dan memperluaskan akses pasaran antarabangsa,” katanya.






















