Malaysia sedia sokong usaha gencatan senjata di Timur Tengah, kata Anwar
Beliau menegaskan bahawa pendirian itu selaras dengan prinsip bipartisan yang diputuskan oleh Parlimen Malaysia dalam mendepani konflik yang semakin meluas di Asia Barat.
Malaysia menyatakan kesediaan untuk menyokong sebarang usaha ke arah rundingan yang boleh menamatkan permusuhan di rantau Timur Tengah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa pendirian itu selaras dengan prinsip bipartisan yang diputuskan oleh Parlimen Malaysia dalam mendepani konflik yang semakin meluas di Asia Barat.
Beliau turut menyambut baik gesaan untuk bertenang yang disuarakan oleh pimpinan tertinggi di Iran.
Menurut Anwar, gesaan sedemikian wajar dipandang serius dan dihormati bagi mengelakkan ketegangan terus memuncak.
Beliau menyifatkan tindakan yang memilih dialog berbanding pencerobohan sebagai satu tindakan beranai yang diperlukan dunia pada masa ini.
"Sejarah jarang sekali menyebelahi mereka yang memilih ekskalasi berbanding rundingan ketika pintu dialog masih terbuka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau mengakui pastinya ada pihak yang akan mendesak untuk tindakan yang lebih keras, namun rundingan tetap menjadi jalan terbaik untuk kestabilan jangka panjang.
Situasi semasa bagaimanapun kekal membimbangkan apabila Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus berdepan serangan berulang.
Malah, keganasan kini telah menjangkau sehingga ke Azerbaijan, Jordan, dan Turkiye, sekali gus mengancam keselamatan serantau secara lebih meluas.
Anwar turut memetik mengenai kemusnahan infrastruktur kritikal seperti kemudahan tenaga dan bekalan air yang menjadi nadi kehidupan jutaan penduduk.
Memandangkan laluan minyak dan perkapalan dunia merentasi perairan tersebut, sebarang gangguan di rantau itu akan menyebabkan kesan ekonomi yang besar melangkaui sempadan Asia Barat.
Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti antarabangsa supaya bertindak segera dengan matlamat yang jelas.
Jelasnya, tindakan pantas amat diperlukan sebelum konflik itu meragut lebih banyak nyawa dan mengheret lebih banyak negara ke dalam kancah peperangan yang lebih parah.