Menteri pertahanan Thailand yakin konflik sempadan dengan Kemboja tidak berpanjangan
Beliau berkata setakat ini keadaan tidak terlalu membimbangkan, sambil menjelaskan siasatan perisikan masih dijalankan berhubung rampasan sistem senjata buatan China .
Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattapon Nakpanich berkata situasi pertempuran di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja sedang berkembang secara “berperingkat” mengikut pelan ketenteraan dan dijangka tidak akan berlarutan, lapor The Nation.
Beliau berkata setakat ini keadaan tidak terlalu membimbangkan, sambil menjelaskan siasatan perisikan masih dijalankan berhubung rampasan sistem senjata buatan China berhampiran Bukit 500 di daerah Nam Yuen, wilayah Ubon Ratchathani.
Menurutnya, tiada sebarang permintaan dibuat oleh pihak berkuasa China untuk senjata tersebut dipulangkan.
“Di bawah peraturan kami, semua senjata yang dirampas berada dalam jagaan angkatan tentera Thailand. Buat masa ini, senjata berkenaan masih diperiksa,” katanya kepada pemberita.
Mengulas kebimbangan antarabangsa terhadap langkah Thailand yang menyekat akses bekalan bahan api dan logistik ketenteraan ke Kemboja, Nattapon menegaskan tindakan itu bersifat aman dan bukannya satu bentuk penggunaan kekerasan.
Katanya, sekatan tersebut bertujuan mengehadkan keupayaan operasi Kemboja terhadap Thailand.
Beliau menegaskan Thailand hanya akan bersetuju kepada gencatan senjata sekiranya Kemboja menghentikan tindakan bermusuhan secara jelas dan terbuka.
“Sebarang pendekatan aman yang boleh memastikan permusuhan ini berakhir adalah jalan yang terbaik,” katanya, sambil meminta sedikit masa bagi menyelesaikan situasi sempadan.
Sementara itu, Tentera Darat Thailand memaklumkan pasukan Rejimen Infantri ke-17 berjaya merampas sejumlah besar senjata buatan China daripada tentera Kemboja selepas menguasai semula Bukit 500, termasuk pelancar roket anti-kereta kebal dan pelbagai jenis peluru.
Menurut kenyataan di media sosial tentera, sehari sebelum itu unit sama turut merampas sistem peluru berpandu anti-kereta kebal berpandu generasi baharu buatan China daripada pasukan Kemboja, sekali gus menambah dimensi baharu kepada ketegangan ketenteraan di kawasan sempadan tersebut.