Rakyat Thai ke-3 paling lama waktu bekerja, rasa bersalah ambil cuti
Berdepan tekanan kerja yang tinggi, ramai pekerja Thai rasa bersalah untuk mengambil cuti tahunan atau cuti sakit kerana tidak mahu menyusahkan rakan sekerja.
Hampir 46.7% pekerja di Thailand bekerja lebih masa sehingga 48 jam seminggu berbanding purata global sebanyak 40 jam, menjadikan negara ASEAN itu berada di tempat ketiga tertinggi di dunia dari segi tempoh waktu bekerja, lapor The Nation.
Berdepan tekanan kerja yang tinggi, ramai pekerja Thai rasa bersalah untuk mengambil cuti tahunan atau cuti sakit kerana tidak mahu menyusahkan rakan sekerja.
Budaya “perlu dilihat hadir di tempat kerja” atau presenteeism masih kuat, di mana antara 35% hingga 48% pekerja berkata tetap bekerja walaupun tidak sihat kerana takut dinilai atau membebankan orang lain.
Kajian mendapati 80% pekerja merasakan mereka layak mendapat lebih banyak cuti tetapi tidak berani mengambilnya, manakala 74% pernah membatalkan percutian kerana beban kerja, dan 24% masih menyemak e-mel kerja ketika bercuti.
Pakar memberi amaran bahawa budaya ini boleh menjejaskan produktiviti dan meningkatkan risiko keletihan melampau (burnout).
Trend baharu percutian: lebih pendek, lebih kerap
Platform pelancongan dalam talian Klook melaporkan perubahan ketara dalam tabiat generasi muda Thai melancong, yang kini memilih percutian singkat dan spontan berbanding mengambil cuti panjang setahun sekali.
Hampir separuh pelancong Gen Z Thai merancang perjalanan kurang dua bulan sebelum memulakan percutian, dengan 18% membuat tempahan seminggu sebelum berlepas — mencerminkan keinginan untuk hidup yang lebih fleksibel dan spontan.
Kenny Sham, Pengurus Besar Klook bagi Hong Kong, Macau dan Thailand, berkata ramai rakyat Thai kini melancong untuk melepaskan tekanan kerja, justeru Klook melancarkan kempen “Pai Ma La Klook” (Jom Bercuti dengan Klook) serta Klook Online Travel Fest dari 17 hingga 20 Oktober 2025 bagi menggalakkan mereka menggunakan cuti dan mengelak burnout.