DUNIA
2 min membaca
Infrastruktur telekomunikasi Israel kesan lokasi individu di lebih 10 negara termasuk Malaysia
Menerusi kaedah ini, pesanan SMS tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh pengguna dihantar ke telefon sasaran, di mana arahan dalam mesej tersebut memaksa kad SIM berkongsi lokasi peranti berkenaan secara automatik.
Infrastruktur telekomunikasi Israel kesan lokasi individu di lebih 10 negara termasuk Malaysia
Sejak November 2022, lebih 15,700 cubaan dikesan untuk mengenal pasti lokasi telefon bimbit di pelbagai negara termasuk Malaysia. (FAIL) / AP

Satu siasatan terbaharu mendedahkan bahawa infrastruktur telekomunikasi Israel digunakan secara meluas sejak tiga tahun lalu bagi mengesan lokasi individu di lebih 10 buah negara, termasuk di Malaysia.

Menurut laporan akhbar Israel, Haaretz, yang memetik hasil kajian kumpulan penyelidik digital Citizen Lab yang berpangkalan di Kanada, rangkaian telekomunikasi dari era 1970-an sehingga sistem 5G paling moden telah diubah menjadi "peranti pengesan" menggunakan program pengintip canggih.

Siasatan tersebut menunjukkan bahawa sejak November 2022, lebih 15,700 cubaan telah dikesan untuk mengenal pasti lokasi telefon bimbit di pelbagai negara termasuk Malaysia, Bangladesh, Thailand, Afrika Selatan dan Norway menerusi infrastruktur syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Israel.

Mendedahkan teknik serangan siber yang digunakan, laporan itu menyebut kaedah SIMjacking antara yang paling menonjol.

Menerusi kaedah ini, pesanan SMS tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh pengguna dihantar ke telefon sasaran, di mana arahan dalam mesej tersebut memaksa kad SIM berkongsi lokasi peranti berkenaan secara automatik.

"Siasatan mendedahkan syarikat telekomunikasi Switzerland, Fink, membolehkan firma pengawasan Israel seperti Rayzone menyamar sebagai pembawa selular untuk menyambung ke rangkaian mudah alih lama. Ini membolehkan mereka menjejak pengguna di seluruh dunia melalui manipulasi protokol isyarat SS7," jelas laporan tersebut.

Operasi pengintipan ini didakwa dijalankan melalui rangkaian syarikat telekomunikasi Israel, 019Mobile dan Partner Communications.

Walau bagaimanapun, 019Mobile dalam satu kenyataan menafikan penglibatan mereka dan menegaskan bahawa identiti mereka mungkin telah dipalsukan oleh pihak lain.

Setakat ini, syarikat lain yang dinamakan dalam laporan tersebut masih belum memberikan sebarang maklum balas rasmi.

SUMBER:AA