Malaysia berkemungkinan berdepan fenomena El Nino kategori sangat kuat atau “Super El Nino” antara Oktober hingga Disember, dengan kebarangkalian kini melebihi 90%, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) seperti dilapor BERNAMA.
Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip berkata unjuran itu berdasarkan peningkatan ketara Indeks Niño Lautan Relatif (RONI) sejak pertengahan tahun, selain suhu permukaan laut mingguan yang kini melebihi purata klimatologi lebih 1.8 darjah Celsius.
“Situasi ini menunjukkan El Nino terus menguat dan dijangka mencapai kemuncak menjelang penghujung 2026,” katanya kepada BERNAMA.
Menurutnya, corak iklim global semasa menunjukkan El Nino 2026-2027 berpotensi menjadi antara yang paling ekstrem pernah direkodkan, dengan kesannya mungkin menyamai atau mengatasi episod 1997-1998 dan 2015-2016.
Suhu tertinggi ketika El Nino 1997-1998 ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis, manakala 39.3 darjah Celsius direkodkan di Batu Embun, Pahang ketika episod 2015-2016.
“Berdasarkan corak episod terdahulu dan kesan pemanasan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan suhu kali ini dijangka lebih ketara dari Februari hingga Mei tahun depan,” katanya.
El Nino yang kuat juga dijangka berlaku serentak dengan Dipol Lautan Hindi (IOD) positif, sekali gus berpotensi mengurangkan taburan hujan dengan lebih ketara.
“El Nino mengurangkan bekalan kelembapan dari Lautan Pasifik, manakala IOD positif mengurangkan bekalan kelembapan dari Lautan Hindi,” katanya.
Gabungan kedua-dua fenomena itu meningkatkan kemungkinan cuaca lebih panas dan kering serta tempoh tanpa hujan yang lebih panjang di selatan ASEAN, termasuk Malaysia.
MetMalaysia akan terus memantau perkembangan kedua-dua fenomena itu, selain keadaan cuaca dan risiko kebakaran hutan serantau.
Mohd Hisham berkata ketika fasa IOD positif, suhu permukaan laut berhampiran Indonesia lazimnya lebih sejuk, sekali gus mengurangkan pembentukan awan dan hujan di Indonesia serta beberapa bahagian Asia Tenggara.





















