PERANG GAZA
2 min membaca
Anwar: Kerajaan pantau rapi misi GSF susulan ancaman Israel
Anwar berkata kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan komunikasi dengan kerajaan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai para peserta.
Anwar: Kerajaan pantau rapi misi GSF susulan ancaman Israel
Anwar Ibrahim semasa bertemu kontraktor kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak pada Sabtu, 16 Mei 2026. / Facebook/Anwar Ibrahim

Kerajaan sedang memantau rapi situasi misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di Garisan Kuning Dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, yang berdepan risiko dipintas oleh rejim Zionis, menurut laporan BERNAMA.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan komunikasi dengan kerajaan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai para peserta dan sentiasa berada dalam kesiapsiagaan.

"Kita sentiasa memantau keadaan. Kita sudah pun memberi tekanan, tetapi kita sedang berhadapan dengan Israel, negara yang paling tidak bertamadun di dunia. Ia bukan sahaja melibatkan peserta dari Malaysia, tetapi juga dari Sepanyol, Türkiye dan Brazil. Kita bersiap sedia sekiranya pintasan sedemikian berlaku," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) yang mengesahkan situasi kritikal melibatkan 54 kapal GSF di Garisan Kuning Dua, yang kini berdepan risiko tinggi dipintas oleh rejim Zionis seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Anwar ditemui selepas menghadiri sesi pertemuan dan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak.

Ditanya mengenai tindakan lanjut sekiranya konvoi kapal itu dipintas oleh rejim Zionis, beliau menegaskan bahawa semua pihak sedang bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita berdoa agar perkara itu tidak berlaku, tetapi jika ia tetap terjadi, kita sentiasa bersiap sedia," jelas Perdana Menteri.

Misi terbaharu GSF ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa dari 45 buah negara, termasuk 29 rakyat Malaysia, yang digerakkan oleh pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan global.