Keputusan baru visa EU untuk warganegara Turkiye: Reformasi sebenar atau sekadar tanda simbolik?
TÜRKİYE
5 min membaca
Keputusan baru visa EU untuk warganegara Turkiye: Reformasi sebenar atau sekadar tanda simbolik?Kemudahan visa Schengen baharu EU untuk warganegara Turkiye dipuji sebagai satu langkah ke hadapan, tetapi pengkritik memberi amaran ia mungkin tak cukup dan dah lewat.
Mulai 15 Julai 2025, pemohon yang layak boleh secara beransur-ansur mendapatkan visa pelbagai kemasukan dengan tempoh sah yang lebih panjang. / TRT World

Dalam langkah yang lama dinanti-nantikan, Kesatuan Eropah (EU) telah memutuskan untuk memudahkan prosedur visa Schengen untuk warganegara Turkiye. Namun, ada syaratnya. Ia hanya terpakai untuk mereka yang mempunyai "rekod perjalanan yang kukuh" dan akan dilaksanakan melalui sistem "bertingkat" yang baharu.  

Menurut kenyataan rasmi EU, mulai 15 Julai 2025, pemohon yang layak boleh secara beransur-ansur mendapatkan visa pelbagai kemasukan dengan tempoh sah yang lebih panjang—dari satu hingga lima tahun—jika visa sebelumnya digunakan secara sah.  

Walaupun keputusan ini disambut baik sebagai langkah ke arah peningkatan mobiliti dan kerjasama, pakar memberi amaran bahawa pelaksanaannya mungkin hanya bersifat simbolik dan tidak sistematik.  

Dengan kelewatan visa, penolakan, dan ketidakselarasan yang terus membimbangkan pemohon Turki, langkah baharu ini menimbulkan harapan dan juga keraguan.  

"Ini keputusan penting untuk warganegara Turkiye," kata Faik Tanrikulu, profesor madya sains politik di Universiti Medipol Istanbul.  

"Tetapi secara jujurnya, ini bukan sesuatu yang baru. Visa pelbagai kemasukan jangka panjang—dari tiga bulan hingga lima tahun—telah pun diberikan mengikut budi bicara pegawai konsulat individu."  

"Apa yang Suruhanjaya EU lakukan sekarang ialah mengalihkan kuasa budi bicara itu daripada individu dan menjadikannya satu jangkaan standard. Itulah nilai sebenar keputusan ini," jelasnya.  

Namun, Tanrikulu menegaskan bahawa penseragaman ini pun terlambat beberapa tahun.  

"Pada 2013, Turkiye dan EU mula membincangkan peta jalan liberalisasi visa. Sekarang, kita sepatutnya sudah bercakap tentang perjalanan bebas visa sepenuhnya untuk warganegara Turki, bukan sekadar kemudahan asas."  

Tanrikulu merujuk perjanjian 18 Mac 2016 antara EU dan Turkiye sebagai titik perubahan dalam hubungan EU-Turkiye, terutamanya mengenai isu migrasi.  

"Isu pelarian memaksa EU untuk melibatkan Turkiye dengan serius. Pada masa itu, Turkiye dijanjikan liberalisasi visa, kemas kini Kesatuan Kastam, dan sokongan kewangan untuk pelarian Syria," katanya.  

"Sebagai balasan, Turkiye perlu memenuhi 72 kriteria khusus, dari pasport biometrik kepada langkah anti-rasuah. Hari ini, 67 daripadanya sudah dipenuhi. Namun, EU terus melambatkan liberalisasi penuh dengan alasan lima kriteria lagi belum selesai," ujar beliau.  

Ketidakselarasan ini, kata Tanrikulu, seolah hidup antara dua darjat.  

"Lihatlah sahaja Georgia. Negara itu tak pun tengah sibuk berunding untuk keahlian EU, tetapi rakyatnya boleh melancong tanpa visa. Sebaliknya, warganegara Turkiye menghadapi kadar penolakan 40 hingga 60 peratus di negara seperti Estonia dan beberapa negara Scandinavia. Malah, pemohon Rusia dan China—walaupun dalam ketegangan geopolitik—sering kali mempunyai peluang lebih baik daripada orang Turk."  

Bagaimana dengan pemohon kali pertama?  

Wartawan dan usahawan Fatma Menal Akin, yang sedang mengejar ijazah sarjana di Rome Business School, juga berhati-hati.  

"Ya, keputusan ini mungkin memudahkan proses untuk mereka yang pernah ke kawasan Schengen dan mempunyai rekod yang baik. Tetapi ia tidak menyebut apa-apa tentang pemohon kali pertama—orang yang mempunyai sebab akademik atau profesional yang sah untuk melancong, tetapi tiada rekod visa sebelumnya. Mereka langsung tidak terlibat dalam keputusan ini."  

Bagi Akin, pengumuman ini juga kurang ketelusan dan keberkesanan.  

"Bagaimana keputusan ini disampaikan kepada kedutaan dan konsulat di negara seperti Jerman, Itali, atau Sepanyol? Adakah mereka wajib mematuhinya? Dan jika tidak, apakah tindakan pemohon yang ditolak? Adakah mereka perlu ke mahkamah, seperti pelajar Turkiye di Itali?"  

Rujukan kepada Itali amat signifikan. Beberapa bulan lalu, ramai pelajar Turkiye menghadapi kelewatan melampau dan penolakan terus untuk visa pelajar oleh konsulat Itali di Istanbul.  

"Ini bukan sekadar masalah birokrasi," kata Akin. "Ia menyebabkan kerugian peribadi yang nyata. Beberapa pelajar memfailkan tuntutan mahkamah dan menang. Mahkamah Wilayah Lazio memutuskan bahawa konsulat Itali bertindak secara tidak sah, dan barulah pelajar tersebut dapat mendapatkan visa."  

Kemenangan undang-undang sedemikian menunjukkan kerapuhan sistem. "Anda tidak sepatutnya perlu menyaman konsulat asing hanya untuk menghadiri universiti yang telah menerima anda," kata Akin. "Ia membuktikan mekanisme yang sangat tidak teguh."  

'Permainan nasib'  

Tanrikulu dari Universiti Medipol Istanbul juga tidak optimis tentang penguatkuasaan.  

"Walaupun dengan arahan Suruhanjaya, konsulat mungkin terus mencari alasan untuk menolak permohonan. Dan masih tiada proses rayuan formal di banyak negara. Itu sangat bermasalah. Sesetengah konsulat malah menghapuskan hak untuk merayu sama sekali."  

Ketidakhadiran proses sewajarnya ini, kata Tanrikulu, menjadikan sistem ini seperti permainan nasib. "Anda mungkin telah menyerahkan setiap dokumen dan memenuhi setiap syarat, tetapi jika pegawai konsulat menganggap anda berisiko—berdasarkan kriteria yang kabur atau tidak dinyatakan—tiada apa yang boleh anda lakukan. Keputusannya muktamad."  

Tambahan pula, Akin menegaskan bahawa kemudahan visa untuk pelancong ulangan bukanlah idea revolusi.  

"Ia sudah menjadi amalan biasa sebelum pandemik. Jika anda pernah ke Eropah beberapa kali dan pulang mengikut jadual, anda sering mendapat visa untuk tempoh lebih lama. Visa perniagaan atau keluarga juga relatif mudah diperoleh. Ini bukan inovasi; ia sekadar tampalan pada sistem yang rosak."  

'Titisan di lautan'  

Jadi, apa yang baru sebenarnya? Kedua-dua pakar bersetuju bahawa keputusan Suruhanjaya Eropah lebih baik daripada tiada langsung. Tetapi impaknya masih terhad, terutamanya tanpa penguatkuasaan mengikat atau mekanisme untuk memastikan keadilan di semua konsulat.  

"Keputusan ini macam titisan di lautan," kata Akin. "Atas kertas memanglah nampak baik, tetapi tanpa pelaksanaan dan akauntabiliti, ia sekadar lakonan. Dan itu hanya akan tambah kekecewaan orang—bukan sahaja terhadap dasar visa, tetapi juga hubungan EU-Turkiye secara keseluruhan."  

Bagi Tanrikulu, risikonya lebih besar. "Mobiliti bukan sekadar tentang pelancongan atau pendidikan. Ia tentang saling memahami dan kepercayaan antara masyarakat. Pada masa ini, rejim visa adalah salah satu halangan terbesar kepada kepercayaan itu."

SUMBER:TRT World
Cari Berita Lain
Menghubungkan Selat Bosphorus-Selat Melaka: Koridor kewangan, pengetahuan Türkiye dan Malaysia
Erdogan sambut Aidiladha dengan mesej solidariti untuk Gaza, bidas kezaliman Netanyahu
Fahami krisis kepimpinan CHP
Türkiye umum Formula 1 bakal kembali ke Istanbul Park pada 2027
Forum Diplomasi Antalya memperluas peranan diplomatik Türkiye, kata Fidan
Duran: Harapan masa depan dunia terletak pada seruan Türkiye
Israel guna keselamatan sebagai alasan untuk rampas 'lebih banyak tanah': Menteri Luar Türkiye Fidan
Presiden Erdogan sifatkan aturan global di ‘ambang berbahaya,’ seru diplomasi dan kestabilan
Forum Diplomasi Antalya 2026 bermula dengan kehadiran pemimpin global
The Daily Telegraph padam laporan palsu mengenai Erdogan
Pemimpin dunia berkumpul di Türkiye untuk Forum Diplomasi Antalya ke-5
Insiden tembakan berhampiran konsulat Israel di Istanbul, 3 pengganas "dineutralkan" - Menteri Turki
‘Penentang kronik’: Mengapa peranan Türkiye dalam NATO buat Israel gelisah?
Türkiye tidak akan berdiam diri bila Israel campak seluruh rantau dalam kancah peperangan: Erdogan
Presiden Turkiye gesa perpaduan semasa Aidilfitri di tengah-tengah ketegangan Timur Tengah
Türkiye kecam rancangan jahat cetus perang saudara di Iran: Fidan
Sokongan NATO kepada Türkiye uji kesediaan pakatan itu semasa berdepan ketegangan Timur Tengah
12 Mac, hari memperingati lagu kebangsaan dan penyair nasional Türkiye, Mehmet Akif Ersoy
Türkiye sokong keamanan, mahu lihat gencatan senjata dalam perang Iran, kata Erdogan
Erdogan: Hentikan perang AS-Israel ke atas Iran sebelum ia merebak