DUNIA
3 min membaca
PM Anwar Ibrahim beri ucapan penghormatan penuh emosi atas pemergian mantan PM India Manmohan Singh
Legasi Singh sebagai seorang ahli ekonomi dan pemimpin akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang, kata Anwar.
00:00
PM Anwar Ibrahim beri ucapan penghormatan penuh emosi atas pemergian mantan PM India Manmohan Singh
Bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh, arkitek reformasi ekonomi, meninggal dunia pada usia 92 tahun pada Khamis. / Foto: AFP / AFP

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meluahkan rasa dukacita atas pemergian mantan perdana menteri India Manmohan Singh dan menyifatkan beliau sebagai sahabat yang sangat dihargai dan seorang negarawan luar biasa. 

Dalam satu kenyataan dimana beliau meluahkan rasa hormat dan kehilangan yang menyedihkan, Anwar menekankan peranan penting Singh sebagai arkitek reformasi ekonomi India dan kepimpinannya yang berpengaruh dalam menjadikan India sebagai kuasa ekonomi global.

“Saya bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri tahun-tahun awal pelaksanaan dasar transformasi ini ketika kami berdua berkhidmat sebagai menteri kewangan pada tahun 1990-an,” kata Anwar, sambil menekankan komitmen bersama dua negara itu dalam memerangi rasuah.

Singh, yang secara meluas dianggap sebagai arkitek program reformasi ekonomi India dan perjanjian nuklear bersejarah dengan Amerika Syarikat, meninggal dunia pada hari Khamis. Beliau berusia 92 tahun.

Beliau merupakan orang Sikh pertama yang memegang jawatan perdana menteri. Singh sebelum ini menjalani rawatan kerana usia tua dan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital di New Delhi selepas tidak menyedarkan diri secara tiba-tiba.

Anwar turut berkongsi kisah yang tidak pernah diketahui umum sambil menyifatkan Singh sebagai seorang sahabat yang penyayang yang menghulurkan bantuan ketika beliau berada di penjara. 

Walaupun berdepan risiko politik, Singh telah menawarkan biasiswa kepada beberapa anak Anwar, termasuk anak lelakinya Ihsan.

Meskipun tawaran itu ditolak, Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai bukti kepada sifat “kemanusiaan dan kemurahan hati Singh yang luar biasa”.

Anwar mengenang Singh sebagai seorang negarawan berintegriti, sedikit kekok sebagai ahli politik tetapi teguh dalam prinsipnya.

“Tindakan kemurahan hati yang tenang seperti itu mendefinisikan dirinya, dan ia akan kekal terpahat dalam hati saya selamanya,” katanya.

Penghormatan itu diakhiri dengan ucapan yang menyentuh hati: “Selamat tinggal, mitraku, bhaiku, Manmohan.”

Legasi Singh sebagai seorang ahli ekonomi dan pemimpin akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang, tambah Anwar.

Dilahirkan dalam keluarga miskin di bahagian India yang ketika itu di bawah pemerintahan British, yang kini terletak di Pakistan, Singh menelaah buku-bukunya dengan menggunakan cahaya lilin sehingga berjaya mendapat tempat di Universiti Cambridge sebelum melanjutkan pengajian ke Oxford, di mana beliau memperoleh doktor falsafah menerusi tesisnya mengenai peranan eksport dan perdagangan bebas dalam ekonomi India.

Beliau menjadi seorang ahli ekonomi yang dihormati. Beliau pernah menjadi Gabenor Bank Negara India dan penasihat kerajaan. Walaupun tidak mempunyai rancangan jelas untuk kerjaya dalam politik, beliau secara tiba-tiba dipilih menjadi menteri kewangan pada 1991.

Semasa memegang jawatan dari 1991 hingga 1996, Singh menjadi arkitek reformasi yang menyelamatkan ekonomi India daripada krisis imbangan pembayaran yang teruk, mempromosikan deregulasi dan langkah-langkah lain yang membuka laluan negara itu kepada dunia.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI