Gencatan senjata Kemboja-Thai langkah positif ke arah damai – Ketua PBB
Amerika Syarikat turut menyambut baik gencatan senjata berkenaan, dengan Setiausaha Negara Marco Rubio menggesa kedua-dua negara menghormati komitmen tersebut dan melaksanakan Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur.
Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyifatkan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai langkah positif bagi menamatkan penderitaan orang awam serta mewujudkan asas bagi keamanan yang berkekalan.
Beliau berkata perjanjian itu berjaya menghentikan permusuhan untuk sementara waktu bagi membuka ruang kepada penyelesaian jangka panjang.
Gencatan senjata itu menamatkan hampir tiga minggu pertempuran maut di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang mengorbankan 99 nyawa dan menyebabkan hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Konflik itu tercetus susulan pertikaian lama di sepanjang sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer, termasuk kawasan kuil purba yang menjadi tuntuan kedua-dua pihak.
Amerika Syarikat turut menyambut baik gencatan senjata berkenaan, dengan Setiausaha Negara Marco Rubio menggesa kedua-dua negara menghormati komitmen tersebut dan melaksanakan Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur.
Perjanjian itu ditandatangani pada Oktober lalu di Kuala Lumpur di hadapan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, namun digantung selepas insiden letupan periuk api yang mencederakan anggota tentera Thailand.
Guterres turut menghargai peranan ASEAN, China dan Amerika Syarikat dalam menyokong penyelesaian secara aman.
Beliau menegaskan PBB sedia membantu usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau itu, selari dengan aspirasi komuniti antarabangsa.
China juga menyambut baik gencatan senjata tersebut sambil menegaskan dialog dan rundingan merupakan kaedah berkesan untuk menyelesaikan pertikaian yang kompleks.
Jurucakap Kementerian Luar China berkata Menteri Luar Wang Yi dijadual bertemu rakan sejawatnya dari Kemboja, Prak Sokhonn, dan Thailand, Sihasak Phuangketkeow, di Yunnan bersama wakil tentera bagi memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata.
Sementara itu, Jepun turut menyambut baik perjanjian berkenaan, dengan Setiausaha Akhbar Kementerian Luarnya Toshihiro Kitamura menyuarakan harapan agar gencatan senjata itu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan demi kestabilan serantau.