Kerajaan rangka pelan baharu tangani pemerdagangan manusia
Saifuddin menyifatkan pemerdagangan manusia sebagai jenayah kejam yang merampas maruah dan kebebasan individu, sambil menegaskan pendirian sifar toleransi Malaysia terhadap kegiatan itu.
Pelan tindakan Malaysia untuk membanteras pemerdagangan manusia terbukti berjaya setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kerajaan kini sedang merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2026-2030 (NAPTIP 4.0) bagi meneruskan usaha di bawah empat teras NAPTIP 3.0 – penguatkuasaan dan pendakwaan, perlindungan, pencegahan serta kerjasama strategik.
“Naptip 4.0 akan memberi tumpuan kepada pemantapan pengenalpastian mangsa dalam sektor berisiko tinggi, penambahbaikan siasatan dan pendakwaan termasuk tindakan terhadap penjawat awam yang culas, serta mempertingkat akses penterjemah dan koordinasi pengurusan kes,” katanya ketika melancarkan World Day Against Trafficking in Persons 2025 (WDAT 2025) di Putrajaya pada Isnin.
Saifuddin menyifatkan pemerdagangan manusia sebagai jenayah kejam yang merampas maruah dan kebebasan individu, sambil menegaskan pendirian sifar toleransi Malaysia terhadap kegiatan itu.
Beliau berkata pelan baharu itu turut memperkasa peranan Pakar Bantuan Mangsa di Sabah dan Sarawak, mempromosikan integrasi data serta pendigitalan penguatkuasaan, selain menyeragamkan perlindungan mangsa di seluruh negara.
Malaysia mengekalkan kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika Syarikat, menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap komitmen berterusan negara membanteras sindiket serta memperkukuh pemulihan berpusatkan mangsa.
“Malaysia turut bersama dengan masyarakat antarabangsa bagi menzahirkan solidariti global ini, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menegakkan hak asasi manusia, menolak sebarang bentuk eksploitasi dan memperkasa prinsip kemanusiaan sejagat,” tambah Saifuddin.