"Kami singgah di sini bukan untuk pulang ke Kuala Lumpur, sebaliknya konsisten untuk meneruskan pelayaran menuju Gaza."
Demikian mesej tegas daripada aktivis kemanusiaan dan wartawan veteran, Zainal Rashid Ahmad sebaik tiba di Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan semalam.
Zainal Rashid, yang lebih dikenali sebagai ZRA, merupakan antara 10 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selepas kapal mereka di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas di perairan antarabangsa, Khamis lalu.
Menceritakan detik cemas itu, beliau menyifatkan layanan yang diterima sepanjang tempoh tahanan sebagai "sangat buruk".
"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan. Kami seramai 10 orang selamat tiba di Istanbul dalam keadaan sihat walaupun berdepan layanan buruk di atas kapal (rejim)," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi di laman Facebook.
Video tersebut dipercayai dirakam sejurus ketibaannya di Istanbul, susulan penahanan bersama 186 aktivis lain pada 30 April lalu di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece.
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu dalam isu Gaza dan sentiasa mengingati Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Zainal turut mendesak kerajaan Malaysia agar segera mengeluarkan nota bantahan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menuntut pembebasan dua lagi aktivis yang masih ditahan, termasuk individu yang dikenali sebagai as-Sayyid.
Beliau bimbang rakan perjuangannya itu berdepan risiko hukuman berat jika tiada usaha pembelaan segera dilakukan.
"Beliau (as-Sayyid) berkemungkinan berdepan hukuman gantung jika tiada pembelaan dan pembebasan segera dilakukan. Ini pesanan kami untuk kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu dalam soal Gaza serta mengingati Masjidil Aqsa," tambahnya lagi.
Antara rakyat Malaysia lain yang ditahan sebelum ini termasuk Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi.
Terdahulu, kerajaan Malaysia mengecam keras tindakan memintas kapal bantuan itu yang jelas melanggar undang-undang maritim antarabangsa (UNCLOS).














