Malaysia memberi peringatan kepada negara-negara serantau agar mempertimbangkan semula urusan perolehan pertahanan dengan Norway berikutan pembatalan sepihak lesen eksport bagi sistem Peluru Berpandu Serangan Laut (NSM), lapor The Star.
Langkah drastik negara Eropah tersebut dijangka melonjakkan nilai tuntutan ganti rugi dan perbelanjaan berkaitan oleh Malaysia sehingga melebihi RM1 bilion.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata, pembatalan oleh kerajaan Norway itu bukan sahaja menjejaskan program kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), malah turut melibatkan kapal sedia ada iaitu KD Jebat dan KD Lekiu.
Setakat ini, Malaysia telah pun melunaskan 95 peratus daripada nilai kontrak perolehan tersebut, bersamaan 126 juta Euro, kepada syarikat Norway yang terlibat.
"Norway telah memperkenalkan dasar baharu yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu rapatnya, termasuk ahli NATO dan rakan strategik. Tindakan ini menimbulkan persoalan serius mengenai kebolehpercayaan komitmen antarabangsa dan mencerminkan hakisan kepercayaan dalam hubungan antara negara," kata beliau.
Mohamed Khaled menjelaskan bahawa satu notis tuntutan telah dikemukakan kepada syarikat Norway berkenaan bagi menuntut pampasan terhadap kerugian langsung dan tidak langsung.
Kos tidak langsung tersebut merangkumi kerja-kerja membuka semula pemasangan sedia ada pada kapal, latihan semula anggota, serta kos integrasi sistem peluru berpandu alternatif.
Meskipun berdepan tamparan hebat, beliau menegaskan bahawa hanya sistem NSM yang terkesan, manakala tiga lagi sistem senjata utama melibatkan keupayaan permukaan ke udara, permukaan ke kapal selam, dan peperangan elektronik tidak terjejas.
Pihak TLDM kini sedang menilai sistem peluru berpandu alternatif bagi memastikan kapal-kapal tersebut dilengkapi persenjataan seperti yang dirancang.
"Bagaimanapun, kita mengakui bahawa ketiadaan sistem NSM akan memberi kesan kepada kerja-kerja integrasi, ujian sistem dan latihan anak kapal, walaupun kapal-kapal itu sendiri masih dijangka siap mengikut jadual," tambah beliau lagi.
Setakat April tahun ini, kemajuan pembinaan kapal LCS 1 telah mencapai 84 peratus dan dijadualkan untuk penyerahan pada Disember ini.















