ASIA
2 min membaca
Malaysia, Indonesia, Singapura komited pastikan Selat Melaka kekal bebas, terbuka, selamat
Ketiga-tiga negara pesisir bersama rakan kerjasama terus menaik taraf kemudahan keselamatan pelayaran, termasuk lebih 50 alat bantuan navigasi di sepanjang selat berkenaan.
Malaysia, Indonesia, Singapura komited pastikan Selat Melaka kekal bebas, terbuka, selamat
(FAIL) Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia dengan lebih 100,000 kapal melaluinya setiap tahun. / Reuters

Malaysia, Indonesia dan Singapura komited memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal bebas, terbuka serta selamat untuk pelayaran antarabangsa disebalik konflik di Timur Tengah yang telah menyebabkan gangguan ke atas laluan perdagangan utama dunia, lapor Straits Times.

Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow berkata laluan laut terbuka tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin, sambil merujuk kepada trafik kapal melalui Selat Hormuz yang kini merosot kepada kurang satu persepuluh berbanding sebelum perang di Timur Tengah tercetus awal tahun ini.

“Di rantau ini, kita akan berusaha memastikan Selat Melaka dan Singapura kekal bebas, terbuka dan selamat untuk perkapalan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Forum Kerjasama di Singapura pada Selasa.

Menurut Siow, ketiga-tiga negara pesisir bersama rakan kerjasama terus menaik taraf kemudahan keselamatan pelayaran, termasuk lebih 50 alat bantuan navigasi di sepanjang selat itu.

Teknologi digital dan perkongsian data turut digunakan bagi meningkatkan pemantauan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan data tepat mengenai kawasan yang berdepan kesesakan trafik serta memberi amaran mengenai risiko perlanggaran kapal.

Kerjasama itu turut diperluas bagi menangani cabaran baharu termasuk kebakaran kargo, kapal autonomi dan perlindungan alam sekitar.

“Semua inisiatif ini penting kerana ia menangani risiko praktikal, menghimpunkan pegawai, pakar dan rakan industri serta membina keyakinan,” kata Siow.

Bekas Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda pula berkata kerjasama berterusan antara Malaysia, Indonesia dan Singapura penting ketika cabaran maritim serta geopolitik semakin berkembang.

Beliau turut menekankan keperluan menghormati undang-undang antarabangsa dan membudayakan dialog dalam menguruskan perbezaan serta mengekalkan keamanan serantau.

Selat Melaka dan Singapura merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia dengan lebih 100,000 kapal melaluinya setiap tahun.

Hampir satu perempat perdagangan maritim global serta kira-kira satu pertiga bekalan minyak dan gas dunia melalui laluan berkenaan.