Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agar Amerika Syarikat dan Iran segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan yang lebih membimbangkan di rantau Timur Tengah.
Beliau turut menggesa supaya Washington dan Tehran kembali ke meja rundingan susulan serangan terbaharu antara kedua-dua negara.
Anwar memberi amaran tindakan membalas serangan yang kini turut melibatkan negara lain di rantau itu berisiko mengheret Asia Barat ke dalam konflik lebih besar dan membawa kemusnahan lebih dahsyat.
Beliau berkata pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi perkembangan konflik memikul tanggungjawab khusus untuk menunjukkan sikap berhati-hati dan mengelakkan ketegangan daripada terus meningkat.
“Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan. Tiada objektif ketenteraan yang boleh membenarkan orang awam didedahkan kepada konflik yang semakin meluas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut memberi amaran terhadap langkah ekonomi yang membebankan orang awam dan menghalang usaha diplomatik kerana tindakan sedemikian berisiko memburukkan krisis.
“Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran menghentikan sebarang peningkatan ketegangan dan segera kembali kepada diplomasi serta persefahaman yang dicapai pada Jun,” katanya.
Beliau menegaskan konflik itu hanya boleh diselesaikan melalui kaedah politik dan diplomasi.
“Dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada perang serantau yang lebih luas,” katanya.




















