DUNIA
1 min membaca
Pope Leo gesa henti keganasan terhadap rakyat Palestin
Pemimpin tertinggi Gereja Katolik itu menggesa masyarakat antarabangsa menyokong penyelesaian dua negara bagi mencapai ‘keamanan yang adil dan berkekalan’.
Pope Leo gesa henti keganasan terhadap rakyat Palestin
Pope Leo memimpin bacaan doa Angelus di Piazza della Liberta di Castel Gandolfo, dekat Rom, Itali, pada 16 Ogos 2026. / AFP

Pope Leo XIV pada Ahad sekali lagi menggesa agar keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki dihentikan, selain menyeru masyarakat antarabangsa mempergiat usaha ke arah penyelesaian dua negara.

Berucap selepas bacaan doa mingguan Angelus, Leo menyeru agar “tindakan keganasan berulang terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat” dihentikan, menurut Vatican News.

Beliau turut merayu kepada masyarakat antarabangsa “untuk memastikan kemajuan dicapai ke arah penyelesaian dua negara, demi keamanan yang adil dan berkekalan”.

Vatican secara konsisten menegaskan bahawa penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan yang selamat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa merupakan satu-satunya jalan yang berdaya maju dan adil ke arah keamanan berkekalan antara Palestin dan Israel.

Pope Leo turut menyambut pembukaan Sukan Mediterranean di bandar Taranto, selatan Itali, sambil menyuarakan harapan agar temasya sukan itu menjadi simbol “keamanan dan persaudaraan antara masyarakat di rantau ini dan seluruh dunia”.

Atlet dari negara-negara di Afrika, Asia dan Eropah yang bersempadan dengan Laut Mediterranean mengambil bahagian dalam temasya berkenaan.

SUMBER:َAA