PERANG GAZA
2 min membaca
Rusia terbuka kepada rancangan damai Gaza Trump tetapi penubuhan negara Palestin kunci utama: Putin
Namun, Presiden Rusia itu menekankan kepentingan untuk memahami "bagaimana rakyat Palestin sendiri memandang inisiatif ini".
Rusia terbuka kepada rancangan damai Gaza Trump tetapi penubuhan negara Palestin kunci utama: Putin
Putin menekankan adalah pentin untuk fahami "bagaimana rakyat Palestin sendiri memandang insiatif tersebut." / Reuters
3 Oktober 2025

Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan bahawa cadangan Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza menawarkan "sedikit sinar harapan", tetapi menekankan bahawa sebarang rancangan mesti membawa kepada penubuhan negara Palestin di samping Israel.

Bercakap di Kelab Perbincangan Antarabangsa Valdai di Sochi pada hari Khamis, Putin berkata Moscow bersedia menyokong inisiatif Trump "jika ia menghasilkan penyelesaian dua negara".

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa "diplomasi unilateral Barat, yang mengabaikan sejarah, tradisi, identiti dan budaya masyarakat yang tinggal di sana, tidak akan membawa keamanan".

Putin berkata meletakkan Gaza di bawah pentadbiran antarabangsa, seperti yang dicadangkan Trump, menimbulkan persoalan tentang berapa lama pengaturan sedemikian akan berlangsung.

Beliau menambah bahawa pilihan yang lebih baik adalah menyerahkan kawalan wilayah itu kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas.

Presiden Rusia itu juga menyambut baik cadangan Trump untuk membebaskan semua tebusan yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan rakyat Palestin di penjara Israel, dengan menyifatkannya sebagai idea yang wajar disokong.

Tetapi beliau menekankan kepentingan untuk memahami "bagaimana rakyat Palestin sendiri memandang inisiatif-inisiatif ini".

Putin juga menyentuh pelbagai isu lain.

Beliau berkata Rusia menginginkan "pemulihan sepenuhnya" hubungan dengan Amerika Syarikat walaupun terdapat perbezaan, menegaskan bahawa beliau "bukan maharaja tetapi presiden terpilih", dan mengulangi bahawa Moscow mempunyai pasukan yang mencukupi untuk meneruskan perangnya di Ukraine.

Menganggap remeh kenyataan Trump bahawa Rusia adalah "harimau kertas", Putin berseloroh: "Adakah kami harimau kertas? Kalau begitu, apakah NATO dalam kes ini?"

Beliau seterusnya memberi amaran bahawa usaha Barat untuk menimbulkan "kekalahan strategik" ke atas Rusia akhirnya akan gagal.


SUMBER:TRT World & Agencies