Malaysia tegaskan kedaulatan berasaskan Peta 1979, tolak tuntutan maritim China – Tok Mat

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, di bawah Peta 1979 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak mempunyai kawasan maritim yang bertindih dengan China.

By
“Kita berpegang kepada Peta 1979," kata Mohamad Hasan di Dewan Negara pada Selasa, 24 Februari 2026. / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia / Other

Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk mempertahankan kedaulatan negara berasaskan Peta 1979 serta menolak sebarang tuntutan maritim luar yang bercanggah termasuk oleh China.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, di bawah Peta 1979 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak mempunyai kawasan maritim yang bertindih dengan China.

“Kita berpegang kepada Peta 1979. Sebarang tuntutan selepas itu tidak diiktiraf dan tidak pernah dirunding dengan China,” katanya di Dewan Negara.

Menjawab soalan Senator Mustafa Musa mengenai isu teknikal dan diplomatik berkaitan penentuan sempadan dengan Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan China, beliau berkata semua langkah yang diambil berpaksikan undang-undang antarabangsa bagi menjamin keutuhan wilayah serta keselamatan sempadan darat, laut dan udara.

Mohamad menjelaskan istilah yang lebih tepat ialah “proses perundingan penetapan sempadan antara Malaysia dengan negara-negara jiran” dan bukannya pertikaian, kerana Malaysia tidak mempunyai permusuhan dengan negara jiran.

Mengenai Sabah, beliau menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina kerana negeri itu telah menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963 melalui proses penentuan nasib sendiri yang disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Rakyat Sabah telah melaksanakan hak menentukan sendiri mengenai status kedudukan wilayah Sabah untuk berada dalam Persekutuan Malaysia. Laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962 kepada PBB menyatakan bahawa lebih daripada dua pertiga rakyat Sabah ketika itu memilih menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963,” katanya.

Bagi isu sempadan Malaysia–Indonesia, rundingan dijalankan berdasarkan konvensyen 1891, 1915 dan 1928, dengan dua memorandum persefahaman ditandatangani pada Februari 2025 melibatkan sektor Sabah–Kalimantan Utara yang menyelesaikan 58.3 kilometer sempadan darat di bahagian barat Pulau Sebatik.

Dengan Thailand pula, 11 memorandum persefahaman telah dimeterai yang membolehkan penandaan 543 kilometer atau kira-kira 82 peratus sempadan darat diselesaikan, manakala dengan Singapura, usaha diteruskan untuk mengambil semula pengurusan ruang udara selatan dalam Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) secara berperingkat.